KKM Tambah Katil Hospital Di Sabah Kerana ICU Kini 72% Penuh

Kapasiti katil di 9 hospital Covid-19 serta 21 pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah di Sabah ditingkatkan 2.5 ganda, daripada 2,129 katil pada awal September kepada 5,414 katil sekarang. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Lebih banyak usaha dilakukan Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan jumlah katil hospital di Sabah kerana 72% daripada 122 katil di unit rawatan rapi kini menempatkan pesakit Covid-19 serta kes lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kapasiti katil di 9 hospital Covid-19 serta 21 pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) di Sabah ditingkatkan 2.5 kali ganda, daripada 2,129 katil pada awal bulan lalu kepada 5,414 katil sekarang.

Katanya, kadar penggunaan katil ketika ini ialah 35% dan penubuhan hospital medan dengan kerjasama pasukan tentera di Tawau mampu memuatkan 100 katil bagi kegunaan pesakit bukan Covid-19 supaya lebih banyak katil di Hospital Tawau boleh digunakan untuk pesakit Covid-19.

“Bagi meningkatkan jumlah katil ICU, KKM menyusun atur semula kawasan klinikal di beberapa fasiliti kesihatan, di mana kawasan dalam hospital diubah suai bagi tujuan rawatan pesakit kritikal Covid-19.

“Ini membantu meningkatkan jumlah katil ICU sedia ada di Sabah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Hisham berkata, KKM turut menggunakan inovasi “ventilator splitter” menerusi teknologi cetakan 3D bagi membolehkan sebuah mesin bantuan pernafasan digunakan 2 pesakit Covid-19.

Katanya, KKM turut meningkatkan kapasiti tenaga sumber manusia perubatan serta kesihatan awam.

“Mobilisasi pasukan bantuan melibatkan 767 anggota perubatan dan kesihatan awam KKM daripada pelbagai kategori dan skim perkhidmatan digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu.

“Lebih ramai anggota akan dihantar kelak, di mana 99 petugas akan bertolak ke Sabah dalam minggu ini dan minggu depan (36 petugas kesihatan awam dan 63 petugas perubatan).”

Katanya, KKM mempergiatkan pembabitan lebih ramai sukarelawan NGO dan individu dalam menangani krisis ini, dengan 4,794 pendaftaran yang diterima masih dalam proses saringan.

Hisham berkata, penyumberluaran perkhidmatan perubatan bagi kes bukan Covid-19 turut dilakukan, di mana Jabatan Kesihatan Sabah berbincang dan menandatangani perjanjian dengan beberapa hospital swasta.

Hospital swasta terbabit adalah Institut Jantung Negara, Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Hospital Pakar KPJ Sabah, Pusat Perubatan Pakar Tawau dan Pusat Perubatan Jesselton.

Beliau berkata, kapasiti ujian makmal Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Antigen Rapid Test Kit (RTK Antigen) di Sabah turut dinaikkan 2 kali ganda.

Katanya, kapasiti ujian RT-PCR di Sabah ialah 1,350 ujian pada Julai lalu dan kini ia dinaikkan kepada 2,600 ujian sehari dengan sampel RT-PCR dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan melalui Tentera Udara Diraja Malaysia serta Pos Laju setiap hari.

“Perkhidmatan penyumberluaran kepada makmal swasta juga dilakukan, misalnya pada 16 Okt, sebanyak 4,327 ujian disumberluarkan kepada makmal swasta agar lebih banyak saringan dapat dijalankan di lapangan.”- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *