Mahkamah Anak Negeri Di Setiap Daerah Di Sabah

KENINGAU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Mahkamah Anak Negeri akan dibangunkan di setiap daerah di Sabah.

Beliau yang menghadiri Sesi Townhall bersama Mahkamah Anak Negeri Peringkat Pedalaman Sabah yang diadakan di Dewan Masyarakat Keningau di sini semalam (5 September) berkata, pembangunan berkenaan telah pun dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Jelasnya ia akan ditunaikan supaya perkhidmatan Mahkamah Anak Negeri yang membabitkan soal adat resam dapat didekatkan dan dinikmati oleh masyarakat di setiap daerah tanpa perlu datang ke Kota Kinabalu.

 Mengenai cadangan daripada salah satu peserta dalam sesi itu iaitu membukukan dan digitalisasi undang-undang anak negeri, Shafie berkata ia adalah satu cadangan yang baik.

Beliau berkata perkara itu juga boleh diwujudkan dalam pelbagai bahasa supaya adat resam yang ada di negeri ini diketahui dan menjadi sumber rujukan bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi juga luar negara, terutamanya melalui capaian dalam talian.

Mengenai isu tanah gazet hutan simpan yang diduduki penduduk kampung, Shafie berkata telah menjadi dasar kerajaan yang diterajui Warisan Plus untuk kawasan berkenaan yang sudah diduduki oleh penduduk kampung selama berpuluh tahun, digazetkan menjadi kampung malah geran tanah dan lot-lot turut diserahkan kepada penduduk kampung.

Menurutnya, dalam pemerintahan Warisan Plus, lebih 10,000 geran dan lot-lot terbabit disediakan dan diagihkan serta melibatkan pengeluaran beberapa perkampungan daripada gazet hutan simpan kepada gazet kampung.

Terang beliau lagi, apa yang telah dilakukan oleh kerajaan sebelumnya adalah pembalakan dilakukan di kawasan hutan simpan dan untuk mengekalkan peratusan hutan simpan di Sabah, kawasan perkampungan yang telah wujud pula digazetkan menjadi hutan simpan.

Shafie berkata kaedah terbabit tidak lagi diamalkan di bawah pemerintahan Warisan Plus untuk memastikan masyarakat kampung mendapat hak mereka untuk kelangsungan hidup termasuk melakukan aktiviti bercucuk tanam.

Walau bagaimanapun, beliau turut mengatakan bahawa bukan semua gazet hutan simpan boleh ditukarkan kepada gazet kampung kerana hutan simpan yang ada di negeri ini juga harus dijaga.

Beliau berkata hutan simpan adalah penting untuk penjagaan alam sekitar demi kepentingan flora dan fauna termasuklah manusia dan usaha kerajaan dalam menjaga hutan simpan di negeri juga menunjukkan pengurangan kematian gajah.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Undang- Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai dan Jannie Lasimbang serta ketua masyarakat dan kaum dari seluruh daerah di Sabah.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *