Sandakan Kini Pengeluar Minyak Masak GOLD, Buka Peluang Pekerjaan Rakyat

SANDAKAN: Kerajaan Sabah mengorak langkah setapak lagi dalam membangunkan ekonomi negeri ke arah perindustrian dengan pelancaran jenama baharu minyak masak keluaran tempatan dikenali sebagai GOLD.

Produk kelapa sawit berkualiti tinggi itu yang diproses melalui kilang yang dibina di Sibuga, Sandakan adalah hasil kerjasama antara agensi kerajaan negeri, Kumpulan Sawit Kinabalu dengan Syarikat Intipati Minyak Sdn. Bhd.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dengan pelancaran tersebut, eskonomi masyarakat setempat berjaya ditingkatkan melalui penyediaan peluang pekerjaan pendapatan tambahan daripada industri hiliran sawit.

Mohd. Shafie berkata, pembukaan kilang mengeluarkan GOLD merupakan antara janji beliau kepada rakyat sebelum ini dalam usaha memastikan industri hiliran dapat dijana untuk membangunkan ekonomi negeri bukannya sekadar mengeluarkan minyak sawit mentah (CPO).

“Rancangan ini sudah lama kita rancangkan sebelum kita mengambil tampuk pemerintahan di antara kandungan intipati yang kita lontarkan kepada masyarakat kita di seluruh Sabah bahawa negeri Sabah harus mempunyai kilang minyak masak sebabnya kenapa kita tidak mampu menyediakan kilang minyak masak sedangkan kelapa sawit yang terbesar di negara kita datangnya dari Sabah.

“Petaling Jaya ada kilang, Shah Alam ada kilang di Singapura ada kilang yang Singapura langsung tiada minyak kelapa sawit, tidak mungkin kita tidak boleh sediakan, penting bagi kita untuk menyediakan bukan hanya peluang perniagaan, peluang pekerjaan kepada anak-anak bangsa kita dan kelapa sawit sebagai produk emas negara perlu kita kekalkan mesti mapan,” katanya ketika melancarkan pembukaan kilang itu hari ini.

GOLD dikeluarkan melalui pakej botol bersaiz satu liter berharga RM3.70 dan botol bersaiz 1.5 liter berharga RM4.90.

Kemampuan pengeluaran sehari kilang berkenaan ketika ini adalah 40,000 kilogram dengan sasaran sekurang-kurangnya sejuta kilogram sebulan bagi pasaran tempatan dan global membabitkan negara-negara jiran.

Kilang terbaharu itu merupakan yang kedua milik agensi kerajaan negeri dilancarkan Mohd. Shafie selepas kilang minyak BESS di Tawau yang kini turut menawarkan pekerjaan kepada rakyat Tawau dengan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Mohd. Shafie berkata, seperti BESS, minyak masak GOLD akan turut dipasarkan ke negara-negara jiran Malaysia kerana mereka tidak bergantung kepada Sabah untuk mendapatkan bekalan minyak masak.

“Di Tawau BESS di Sandakan GOLD, kenapa kita minta supaya kita nak hari ini kita sedar dan tahu negara jiran kita sama ada Brunei, Indonesia, Filipina, negara-negara yang berhampiran mereka tidak mempunyai bekalan minyak masak produk sampingan daripada kelapa sawit.

“Kita tidak mahu negara jiran kita Filipina seludup barang-barang yang datang dari Sabah kita mahu ikut undang-undang supaya transaksi perdagangan ini dapat dilakukan dengan baik, maka dengan itu kita wujudkan pembekalan minyak masak ikut undang-undang dari Sandakan yang kita jual kepada negara-negara jiran kita,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, selepas ini, satu lagi kilang pengeluaran minyak masak tempatan akan dilancarkan di Keningau untuk memastikan masyarakat Kadazan di daerah itu turut menerima limpahan ekonomi melalui peluang pekerjaan yang disediakan kerajaan.

Selain itu, beliau turut mengingatkan pengusaha-pengusaha kilang berkenaan agar meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan pembangunan (RnD) untuk mempelbagaikan lagi produk daripada CPO antaranya sabun, lilin dan ubat-ubatan, bukannya terhad kepada minyak masak semata-mata.

“Kita kena pelbagaikan biar ada permintaan yang jauh lebih banyak dan lebih luas kepada produk sampingan kelapa sawit ini, saya masih ingat kalau kita buat koko boleh buat coklat, minuman, gula-gula coklat macam-macam yang kita boleh buat, pelbagai tetapi kita tidak lahirkan industri hiliran itu, maka dengan itu hari ini tidak ada lagi tanaman koko yang begitu luas.

“Begitu juga dalam konteks minyak masak CPO bukan bererti CPO ini hanya boleh untuk kita gunakan memasak sahaja goreng ikan untuk digunakan sumber nasi goreng, goreng pisang, goreng sahaja, kita kena buat RnD  untuk membolehkan supaya kepelbagaian kegunaannya, minyak ini bukan hanya untuk buat minyak masak sahaja minyak ini boleh digunakan untuk buat sabut, buat lilin, ubat  pelbagai tetapi kita kena kuatkan RnD kita,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *