KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass menegaskan individu yang mempunyai kes-kes tertentu termasuk kecemasan saja dibenarkan menggunakan Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu
Beliau berkata demikian selepas membenarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang cedera serta suami isteri bersama anak lelaki yang baru lahir dibenarkan untuk menaiki bot di Jeti berkenaan, di sini, tengah hari tadi.
Arahan itu diberikan sendiri oleh Zaini yang kebetulan melakukan tinjauan di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu, kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Sebelum kejadian itu, Zaini bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji melakukan tinjauan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Safma, Pasar Ikan, dan Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu.
Ketika berada di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu, sebuah bot tiba-tiba merapat sambil seorang lelaki iaitu bapa kepada mangsa memberitau anaknya perlu ke hospital kerana cedera akibat terjatuh di rumahnya di Lok Urai, Pulau Gaya.
Berikutan itu, Zaini terus mengarahkan supaya bot merapat ke jeti sebelum dibantu oleh anggota polis yang bertugas.
Bapa kepada kanak-kanak itu kemudian berlari menuju ke kenderaan yang sedang menunggu bagi membawa mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pada masa sama juga, suami isteri bersama anak lelaki mereka yang baru lahir tiba di jeti untuk pulang ke rumahnya di Pulau Gaya.
Bot yang sebelum itu menghantar mangsa cedera diarah menunggu untuk menghantar suami isteri bersama anaknya pulang ke Pulau Gaya.
Zaini berkata, Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu hanya dibenarkan beroperasi pada waktu pagi iaitu jam 7 hingga 9 pagi manakala waktu petang dari 5 petang hingga 7 malam.
“Selain itu, hanya empat bot sahaja dibenarkan merapat di jeti pada satu-satu masa kecuali ada hal kecemasan seperti yang berlaku tadi,” katanya.
Menurutnya, orang ramai diharap bersabar sepanjang PKP ini dan diminta supaya mematuhi arahan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
SumbeR: Berita Sabah