Covid-19: Polis Beri Amaran Kepada Penduduk Batu Sapi

SANDAKAN: Polis sudah mengeluarkan amaran terhadap penduduk Kampung Bahagia, Batu Sapi, di sini agar tidak menunaikan solat di masjid kampung terbabit.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung sekumpulan penduduk yang masih menunaikan solat di masjid berkenaan pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selepas kita beri amaran, penduduk faham dan terima penjelasan kita mengenai perintah kerajaan agar mereka duduk di rumah,” katanya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azhar berkata, polis melaksanakan sekatan jalan raya di sekitar daerah ini sepanjang dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, sekatan jalan raya itu membabitkan jalan utama antara Sandakan ke Batu 32, dekat sini yang menjadi laluan keluar masuk penduduk dari daerah lain.

“Orang ramai masih keluar dan masuk ke daerah ini, namun penduduk dinasihatkan untuk tidak ke mana-mana dan patuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kita lakukan ini untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengeluarkan arahan kepada semua pengusaha restoran, restoran makanan segera, pasar raya dan kedai runcit agar beroperasi hanya sehingga jam 7 malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

MPS turut mewajibkan semua penjual di pasar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit serta pengusaha restoran untuk memakai topeng muka, mengelak sentuhan fizikal serta mengamalkan jarak sosial dengan pelanggan.

Presiden MPS, Wong Foo Tin, berkata semua pengendali makanan segera juga harus memakai topeng muka dan sarung tangan ketika menyediakan makanan, selain menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pelanggan yang menunggu pesanan makanan.

“Mereka juga perlu sediakan ruang menunggu atau buat garisan supaya pelanggan yang menunggu dapat menjarakkan diri antara satu sama lain.

“Maksimum hanya lima pelanggan dibenarkan menunggu pesanan pada satu masa dan mereka tidak dibenarkan berkumpul,” katanya.

Sumber: BorneoToday

12893