Rakyat Malaysia Sertai Himpunan Tabligh Di Sulawesi Akan Disaring. Kuarantin 14 Hari, Kata Menteri

Dilaporkan lebih dari 80 rakyat Malaysia hadir ke himpunan tabligh di Sulawesi melibatkan peserta dari seluruh dunia. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, semua peserta dari Malaysia yang menyertai himpunan tabligh di Sulawesi perlu disaring dan dikuarantin 14 hari di pusat kuarantin.

“Kita ada makluman 83 rakyat Malaysia daripada jemaah tabligh berada di Sulawesi.

“(Kita) sudah ambil keputusan kalau balik ke negara ini, kita akan letakkan kawalan di pintu masuk untuk saring dan seterusnya dikuarantin 14 hari di pusat kuarantin yang digazetkan.

“Kita pasti mereka dari luar negara yang dikatakan ada Covid-19,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini wabak Covid-19 di sini.

“Ijtima of Asia 2020” di Indonesia yang dilaporkan bakal dihadiri ribuan jemaah tabligh dipercayai turut melibatkan rakyat Malaysia.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata, meskipun pihak kedutaan sudah mengeluarkan larangan agar rakyat Malaysia tidak menghadiri program itu, dipercayai berpuluh-puluh orang dilaporkan sudah berada di sana.

Menurut laporan Bernama, 83 rakyat Malaysia sudah berada di Sulawesi untuk menyertai acara itu, yang turut dihadiri jemaah tabligh dari 48 negara lain.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan pihak berkuasa Indonesia tidak mengeluarkan sebarang surat kebenaran (permit) untuk acara itu yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 22 Mac, dan dalam proses berunding dengan pihak penganjur agar mereka bersurai.

Pada 27 Feb hingga 1 Mac lepas, dilaporkan lebih 10,000 orang menghadiri himpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Didapati kemudiannya sejumlah peserta himpunan itu positif Covid-19, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes itu di Malaysia.

Pada 14 Mac, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu notis konsular melarang rakyat Malaysia menyertai sebarang perhimpunan atau acara berskala besar di Indonesia susulan pandemik Covid-19, termasuk menghadiri himpunan tabligh itu. – FMT

786