Perjalanan Keluar Ke Indonesia Melalui Jalur Laut Di Tawau Dibuka Sehingga Esok

TAWAU: Konsulat Republik Indonesia (KRI) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan tempoh dua hari sehingga esok untuk membenarkan rakyat Indonesia pulang menerusi jalan laut dari Tawau.

Konsul KRI di Tawau, Sulistijo Djati Ismojo berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengemukakan rayuan kepada kerajaan negeri untuk memberi kelonggaran kepada rakyat Indonesia yang terkandas di sini, susulan keputusan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) sejak semalam.

“Saya menasihatkan rakyat Indonesia yang berada di sini, agar mengambil peluang untuk pulang selewat-lewatnya esok.

“Ini kerana operasi Terminal Feri Tawau ini akan ditutup semula pada Sabtu (21 Mac) ini, menyebabkan  mereka terpaksa tinggal di Sabah sehingga MCO tamat pada 31 Mac depan,” katanya kepada media, hari ini.

Semalam, lebih 200 rakyat Indonesia terkandas di Terminal Feri Tawau selepas tempoh MCO bermula sehingga 31 Mac depan.

Sementara itu, seorang rakyat Indonesia, Suwarni Lawase, 48, bersyukur kerana diberi peluang selama dua hari untuk pulang ke Sulawesi, Indonesia, walaupun dalam tempoh MCO.

“Sepatutnya, ahli keluarga saya pulang akhir bulan ini, namun disebabkan keadaan di sini tidak membenarkan pergerakan keluar masuk (ke Malaysia) sehingga 31 Mac, memungkinkan mereka terpaksa tinggal lebih masa di Tawau.

ANDINI ANDAS

“Justeru, apabila dimaklumkan kelonggaran selama dua hari untuk pulang ke Indonesia, saya tidak teragak-agak untuk menghantar mereka menaiki feri hari ini,” katanya.

Bagi Andini Andas, 17, yang tiba di sini sejak beberapa hari lalu, mengambil keputusan untuk pulang ke Indonesia, hari ini, bagi mengelak terkandas di Tawau berikutan MCO yang ditetapkan kerajaan.

“Saya perlu pulang awal memandangkan tidak lama lagi sekolah akan dibuka semula.

“Jika saya terkandas di sini, bermakna, saya tidak dapat hadir mengikuti sekolah di sana (Indonesia),” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *