Satu video klip tular di media sosial mengenai satu video yang memaparkan puluhan mayat memenuhi segenap ruang di sebuah hospital di Qom, Iran.
Max Howroute melalui akaun Twitternya @howroute mendakwa rakaman tersebut adalah daripada seorang pengguna Twitter rakyat Iran, Heshmat Alavi.
“Di sini terdapat banyak mayat yang sudah sedia untuk dikebumikan pada pagi ini. Namun malangnya, jumlah mayat ini terlalu banyak. Ia seakan tiada pengakhiran.”
Perakam video tersebut menuju ke arah satu ruang lain dan turut menjelaskan situasi yang berlaku.
Dakwanya, mayat-mayat itu adalah mangsa wabak COVID-19.
“Semua (mayat) yang mati akibat Coronavirus ini sedang menunggu untuk dibersihkan dan bersedia untuk pengebumian,”
“Di sini..ada banyak lagi,” katanya sambil menuju ke arah satu ruang lain yang turut dipenuhi dengan mayat-mayat tersebut.
Tambahnya lagi, ada bilik lain yang menempatkan mayat-mayat itu sejak lima ke enam hari lalu.
“Contohnya, nama mayat ini, Khosrowshahi, telah ada di sini sejak beberapa hari lepas dan belum lagi diproses (pembersihan),” katanya selepas merujuk kepada sebuah kotak mayat di atas katil.
“Situasi ini sangat mengerikan..semoga Allah mengasihani kita,” ujarnya.
Bagaimanapun, video berdurasi satu minit 12 saat itu menimbulkan persoalan di portal berita antarabangsa, Dailymail.
Lapor berita tersebut, hospital yang menempatkan puluhan mayat tersebut terletak di Qom, ia adalah wilayah yang sama ketika kes pertama COVID-19 di Iran dikesan.
“Belum ada lagi respon rasmi (daripada mana-mana pihak) berkenaan video tersebut, dan ia sangat tidak jelas kenapa mayat-mayat itu belum lagi dikebumikan. Tetapi seorang wartawan tempatan mendakwa bahawa tiada ruang lagi untuk mayat itu (diuruskan), jelas Dailymail.
Namun, kesahihan dakwaan yang dibuat oleh individu yang memuat naik video berkenaan tidak dapat disahkan.
Jumlah terkini kematian akibat Covid-19 di Iran adalah 92 orang.
Sumber: Twitter Max Howroute, Dailymail