SANDAKAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengendalikan proses permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah berikutan kewujudan ‘konco-konco’ yang menjadi dalang penipuan permohonan projek terbabit di negeri itu.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ia termasuk permohonan PPR Batu Putih, di Batu 7 di Sandakan yang sudah siap dibina baru-baru ini.
Menurutnya, pegawai KPKT akan menjalankan pendaftaran permohonan di Dewan Libaran, Batu 7, pada Isnin depan sehingga Rabu.
“Kita buat secara manual dan secara terus kepada KPKT kerana kita nak mengelakkan ada ‘konco-konco’ atau pihak yang mengambil kesempatan.
“Kita faham, di Sabah ini ada ‘konco-konco’ yang menjual borang permohonan rumah ini dengan harga yang sangat tinggi.
“Akhirnya orang yang sudah membayar duit tidak mendapat rumah. Jadi kali ini kita nak pastikan bahawa mereka tidak teraniaya dan KPKT sendiri akan turun buka kaunter selama tiga hari untuk pendaftaran,” katanya dalam sidang media di Sandakan, hari ini.
Zuraida berkata, kaedah sama akan digunakan untuk masa depan bagi permohonan PPR di Sabah.
Dalam pada itu, beliau akan membawa pakar pengurusan sampah dan program bagi menangani isu sampah di Sabah.
Menurutnya, masalah pembuangan sampah di Sabah dilihat agak membimbangkan.
“Justeru itu, kita nak membantu pengurusan sampah lebih teratur dan tersusun yang berteknologi tinggi supaya memberi imej baik kepada Sabah sebagai negeri tarikan pelancongan, apatah lagi Sandakan.
“Kita akan bawa pakar dalam bidang pengurusan sampah dan juga program kitar semula, penyediaan tong sampah, penyediaan plastik sampah serta pusat kitar semula.
“KPKT turut akan melatih rakyat di Sabah untuk menjadikan sampah menjadi duit, trash to cash,” katanya. – Berita Harian