Sabah Boleh Dijadikan Venue Tahunan Le Tour De Langkawi – Shafie

KOTA KINABALU: Sukan berbasikal bertaraf dunia, Petronas Le Tour De Langkawi 2020 (LTDL 2020) yang pertama kali dianjurkan di Sabah diharap menjadi pendorong untuk Sabah dipilih sebagai venue tahunan acara itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Sabah mempunyai banyak lokasi menarik untuk dijadikan litar perlumbaan selain Kota Kinabalu iaitu di Kundasang yang pasti menawarkan cabaran mendaki kepada setiap peserta dan menjadikan LTDL lebih mengujakan.

Katanya, bagi masyarakat Sabah, penganjuran LTDL 2020 memberi peluang kepada mereka untuk melihat sukan itu dengan lebih dekat kerana selama ini hanya tertumpu di negeri-negeri di Semenanjung sejak pertama kali dianjurkan 25 tahun lalu.

“Saya harap sungguh di masa akan datang ktia akan teruskan usaha seumpama ini untuk menganjurkan bukan hanya di Langkawi tetapi di luar, tempat seperti Kota Kinabalu dan banyak lagi tempat yang cantik bukan hanya di Kota Kinabalu contohnya di Kundasang, bukit-bukau yang ada adalah litar yang mencabar untuk berkayuh dan mencabar kepada golongan yang mencintai sukan ini.

“Jadi saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada penganjur Le Tour De Langkawi juga pihak Kerajaan Pusat, Kementerian Belia dan Sukan dan juga pihak Petronas sebagai penaja utama yang unggul, saya harap ini merupakan satu titik permulaan bagi kita di peringkat negeri Sabah bersama-sama menjayakan program seumpama ini dan saya harap ia akan mendapat sambutan yang baik daripada masayrakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas upacara pelepasan peserta Malaysian International Criterium Race bersempena Petronas LTDL 2020 di Padang Merdeka hari ini.

Pemilihan Kota Kinabalu sebagai venue acara itu mencatat sejarah buat pertama kali LTDL diadakan di Sabah yang menggunakan beberapa jalan di sekitar Kota Kinabalu termasuk sepanjang Tanjung Lipat sebagai litar lumba dengan jarak laluan keseluruhan 8.7 kilometer.

Terdapat sebanyak 21 pasukan antarabangsa bertanding dalam perlumbaan tersebut, manakala penganjur, Human Voyage turut membawa bersama 50 media luar negara untuk membuat liputan yang secara langsung mampu mempromosi pelancongan negeri ke mata dunia.

Pertandingan itu menarik seramai 133 peserta dari seluruh dunia seperti dari Eropah iaitu Italy, Australia, Indonesia, Thailand dan beberapa negara Asia lain termasuk Malaysia.

Semetara itu, Mohd, Shafie berkata, beliau berharap lebih banyak produk pelancongan sukan dapat dicipta di negeri ini dalam usaha memacu perkembangan sektor pelancongan Sabah pada masa akan datang.

Katanya, Sabah tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pelancong dari negara-negara tertentu sahaja tetapi perlu dipelbagaikan dengan mencipta tarikan baharu untuk mempelawa mereka datang.

“Saya ingat itu yang harus menjadi salah satu produk pelancongan, kita tidak boleh hanya mengharapkan pelancong yang datang dari negara, kita mesti cipta produk pelancongan contoh berbasikal, Formula 1, pertandingan marathon, pelbagai lagi seperti angkat berat, strongest man contohnya.

“Dan kita boleh satukan dengan musim perayaan yang ada di Sabah yang menjadi tarikan kita, ini merupakan satu usaha yang harus kita bagi galakan di masa akan datang,” tambahnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *