KOTA KINABALU: Seorang lelaki dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana memukul isterinya minggu lalu.
Majistret Lovely Natasha Charles memerintahkan Jerry Boris, 34, dihukum penjara selepas tertuduh mengaku bersalah mencederakan wanita itu yang tidak lagi tinggal sebumbung dengannya di sebuah rumah di Kampung Minintod, Penampang pada kira-kira pukul 11 pagi, 30 Januari lalu.
Tertuduh yang ditahan polis selepas video dia memukul mangsa tersebar didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 12 bulan dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sebelum dijatuhkan hukuman, pegawai pendakwa, Inspektor Albert Basiri memberitahu mahkamah bahawa pasangan itu mempunyai empat orang anak, namun tinggal berasingan sejak Oktober tahun lalu.
Mahkamah dimaklumkan bawa pada hari kejadian, Jerry berang apabila isterinya menghadiri satu majlis hari jadi ahli keluarganya tanpa kebenaran sehingga berlaku pertengkaran menyebabkan wanita itu dipukul.
Video lelaki itu memukul isterinya dirakam oleh salah seorang jirannya sebelum tular di media sosial.
Dalam video itu, kelihatan seorang lelaki memarahi mangsa, menarik rambut, menyepak dan menghentak kepalanya ke lantai.
Wanita itu kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth akibat lebam di badan.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan memohon penceraian.
Wanita itu turut dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan perlindungan daripada suaminya yang ditahan sehari kemudian.
Sebelum dihukum, Jerry yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepadanya dan turut memohon maaf daripada isterinya.
Albert bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya dikenakan terhadap tertuduh kerana kekerasan yang dilakukan dan kegagalannya menunaikan tanggungjawab kepada keluarga.
Sementara itu, tangisan kedengaran di dalam mahkamah yang dipercayai daripada anak-anak mereka.
BorneoToday