Sumbangan Su Yin Sentiasa Diingati – Shafie

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merakamkan takziah kepada keluarga bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Peter Lo Su Yin, yang meninggal dunia di Hospital KPJ, di sini, malam tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyifatkan Su Yin sebagai pemimpin berpengalaman dan komited menyumbang kepada negeri dan beliau bersedih dengan pemergian Su Yin serta berharap keluarga mendiang bersabar lagi tabah menghadapi dugaan.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Peter Lo Su Yin.

Katanya, sumbangan mendiang terhadap negeri ini sangat besar termasuk peranan penting yang dimainkan dalam merangka Perjanjian Malaysia 1963 dan ia akan sentiasa diingati.

“Saya pernah duduk semeja dengan mendiang dan bercerita mengenai politik di Sabah.

“Beliau juga terkenal dengan ketegasan dan keadilannya sebagai ketua menteri, terutama pada ketika Sabah berhadapan dengan cabaran politik serta ancaman-ancaman lain pada tahun 1960-an,” katanya.

Peter, 96, adalah Ketua Menteri Sabah yang kedua dan etnik Cina pertama dilantik ke jawatan itu menggantikan Donald Stephen (Tun Fuad Stephen) pada 1 Januari 1965.

Beliau berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama kira-kira dua tahun sebelum digantikan Tun Datu Mustapha Datu Harun pada 12 Mei 1967.

Dilahirkan di Sandakan pada 19 Mei 1923, beliau adalah antara pemimpin negeri yang terbabit dalam proses pembentukan Malaysia termasuk merangka 20 perkara berkaitan kepentingan Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Peter ketika itu adalah pemimpin Persatuan Cina Sabah (SCA), sebuah parti politik Cina yang ditubuhkan pada 1965 menggantikan Parti Kebangsaan Sabah (SANAP) atau sebelumnya dikenali sebagai Parti Kebangsaan Borneo Utara (BUNAP) yang dibentuk pada 1962.

Orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah mendiang di Wisma Fook Lu Siew, di sini.

Sumber: Berita Harian

491