Wira Warisan Lapor Polis Penularan Surat Kelulusan Palsu

KOTA KINABALU: Satu dokumen palsu iaitu surat yang kononnya dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri (JKM) bagi memberi kelulusan khas kepada sebuah syarikat swasta mengorek pasir dan mengeksport bahan itu ke luar negara tersebar hari ini.

Menurut sumber, surat yang memalsukan tandatangan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal itu dikeluarkan bertujuan memburuk-burukkan kerajaan yang kini mengamalkan dasar terbuka untuk tender kerajaan.

“Dokumen itu palsu. Tandatangan Ketua Menteri juga palsu, tiada surat seperti itu dikeluarkan,” kata sumber itu kepada Borneo Today ketika diminta pengesahan.

Sementara itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Setiausaha Wira Warisan Sabah, Haslan Rahi di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini berhubung penularan surat pasu berkenaan.

Laporan tersebut adalah bagi meminta pihak berkuasa menyiasat dan membawa dalang di sebalik penularan surat itu ke muka pengadilan.

Berdasarkan surat palsu tersebut, sebuah syarikat kononnya diberikan kelulusan khas oleh Ketua Menteri untuk melakukan aktiviti mengorek pasir di Sungai Labuk, Beluran dan Sungai Mumiang Sandakan untuk tujuan eksport.

Negara pengimport seperti didakwa di dalam surat itu ialah Hong Kong, China, Taiwan dan Macau.

Kononnya, syarikat berkenaan boleh mengeksport pasir sebanyak 10 juta tan padu selama tiga tahun tanpa perlu mendapatkan permit import (AP) terlebih dahulu daripada Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan apa sahaja motif penyebaran surat palsu itu.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *