18 Tahun Boleh Tanding Wakil Rakyat Di Sabah

Datuk Aidi Moktar

KOTA KINABALU: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang telah berumur 18 tahun semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bolehlah memasang impian untuk bertanding mana-mana kerusi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Penurunan had umur kepada 18 tahun untuk menjadi wakil rakyat itu direalisasikan selepas Sidang DUN hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2019 yang dibentangkan Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar.

RUU itu yang mendapat persetujuan lebih dua pertiga atau 57 undi daripada ADUN yang hadir semasa persidangan menjadikan Sabah negeri pertama menyahut saranan Persekutuan untuk menggubal Perlembagaan negeri bagi menurunkan had umur bertanding dalam pilihan raya.

Aidi ketika menggulung perbahasan berkata, penurunan itu bertujuan memperkasakan golongan belia di negeri ini agar mereka yang mempunyai ketokohan dalam kepimpinan boleh terlibat dalam penggubalan dasar-dasar kerajaan.

“Pindaan ini adalah bukti kerajaan mahu anak-anak muda dilibatkan dalam penggubalan dasar, ini penting untuk mereka terlibat dalam pentadbiran.

“Ada yang cakap umur 18 tahun masih belum matang tetapi jangan pandang rendah, ada di luar sana umur 18 sangat pintar lebih daripada kita seperti dalam penggunaan teknologi,” katanya.

Terdahulu, RUU itu dibahas oleh lima ADUN iaitu Datuk Dr. Jeffry Kitingan (Star- Tambunan), Datuk Seri Masidi Manjun (Bersatu-Karanaan), Datuk Jahid Jahim (PBS-Tamparuli), Jamawi Jaafar (Warisan-Kemabong), Datuk Nizam Abu Bakat Titingan (Bersatu-Apas) dan Datuk Osman Jamal (Warisan-Balung).

Julai lalu, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur minimum mengundi dan menjadi calon pilihan raya daripada 21 ke 18 tahun, selain pendaftaran pengundi yang akan dilakukan secara automatik.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kemudiannya menyarankan agar kerajaan-kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk meminda peruntukan berkaitan had umur calon dalam Perlembagaan negeri atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing agar selaras dengan undang-undang Persekutuan dan usaha bipartisan bagi memperkasa golongan muda dalam proses demokrasi.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas RUU itu diluluskan, Aidi berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong apa-apa sahaja dasar yang baik diamalkan di peringkat Persekutuan untuk memperkasakan golongan muda.

“Rang Undang-undang ini selaras dengan Akta Umur Dewasa tahun 1971 dan ini juga selaras dengan takrifan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kebanyakan seluruh dunia sudah turunkan had umur mengundi daripada 21 ke 18 tahun,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *