
KOTA KINABALU: Pekan Donggongon yang menjadi tumpuan masyarakat sekitar Penampang dan Putatan untuk pelbagai barang keperluan kini mendapat jolokan sebagai kawasan yang terlalu kotor dan tidak teratur disebabkan keadaan fizikal kawasan tersebut.
Berikutan itu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking telah mengeluarkan arahan kepada Majlis Daerah Penampang untuk segera membaik pulih pelbagai kerosakkan di pekan berkenaan yang terkenal dengan Pasar Tamu Donggongon.

Setiausaha Politik beliau, Pritchard Gumbaris dalam satu kenyataan berkata, arahan telah dikeluarkan justeru pihak berkuasa tempatan perlu mempercepatkannya dan mengurangkan kerenah birokrasi demi memastikan Pekan Donggongon kembali bersih untuk keselesaan pengguna.
“Donggongon memerlukan pemulihan besar-besaran daripada lantai konkrit dan jubin yang pecah, sistem parkir yang sesuai, baik pulih bangunan serta mesra orang kurang upaya.

“Pekan itu sepatutnya mampu menarik kehadiran pengunjung kerana keindahannya bukan seperti sekarang apabila mendapat jolokan pekan kotor dan berserabut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Pegawai Eksukutif Majlis Daerah Penampang, Tang Yang Ming bersama beberapa pegawai PBT itu telah melakukan walkabout di sekitar pekan berkenaan bagi meninjau pelbagai kerosakkan yang berlaku.

Sebelum ini, banyak aduan daripada orang ramai telah dikemukakan sama ada melalui laman sosial atau terus ke pejabat kerana kesal dengan keadaan fizikal Pekan Donggongon yang semakin kotor.
Hasil tinjauan mendapati laluan pejalan kaki di situ pecah dan tidak rata disebabkan akar pokok yang menjalar sehingga boleh membahayakan pengguna.

Tidak cukup dengan itu, didapati kawasan perparitan turut tersumbat menyebabkan air longkang bertakung dan melimpah ke jalan raya sehingga menimbulkan bau busuk yang mengganggu keselesaan sesiapa sahaja.
“Keadaan kawasan saliran sangat teruk sehingga penduduk yang tinggal di bangunan kedai terpaksa memotong paip yang bersambung dengan longkang agar aliran air lebih berkesan walaupun melimpah ke jalan raya, namun majlis daerah perlu melihat keseluruhan sistem perparitan dan saliran di situ.
“Kami telah melakukan beberapa mesyuarat berbincang perkara ini, malah melalui Whatsapp banyak pihak memberikan cadangan tetapi proses kelulusan terlalu perlahan,” katanya. – BorneoToday