KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membatalkan kesemua MyKad yang dijual kepada warga China dalam kes yang berlaku di Pualu Pinang baru-baru ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, tindakan yang sama turut dilakukan terhadap mana-mana kes penjualan MyKad secara haram yang berjaya dikesan oleh pihak berkuasa.
“Mana-mana pengeluaran MyKad yang sekiranya didapati JPN adalah menerusi cara salah, akan dibatalkan tanpa kompromi. Sesiapa yang terlibat dalam aktiviti ini perlu dikenakan tindakan berat tanpa pilih kasih
“Pihak kementerian memberikan kuasa penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh agar pihak yang didapati bersalah dapat didakwa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang ingin tahu sama ada kerajaan telah membatalkan MyKad yang dirampas daripada warga China di Pulau Pinang baru-baru ini.
Sebelum ini, seorang penolong pengarah JPN Pulau Pinang ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket menjual MyKad kepada warga asing di negeri itu.
Berikutan itu, beberapa pegawai dan kakitangan awam di Pulau Pinang dan di Putrajaya turut ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.
Sementara itu, Mohd Azis berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 81,133 permohonan kewarganegaraan dalam tempoh lima tahun dari 2014 hingga 30 September 2019.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 13,151 permohonan dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia, manakala 57,236 permohonan sedang diproses dan 10,746 permohonan tidak diluluskan,” katanya sebagai menjawab soalan asal Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang bertanyakan tentang jumlah kewarganegaraan yang telah dimasukkan, bilangan diproses, dilulus serta ditolak daripada 2014 hingga kini.
Dalam tempoh yang sama, katanya, 264,192 pemegang kad pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) direkodkan JPN dengan pemegang MyPR dari Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 135,701 orang diikuti India 10,283 dan Filipina 38,131.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 166,116 pemegang MyPR adalah lelaki manakala 98,076 pemegang perempuan.
“Bagi pemegang MyPR mengikut kategori umur, 2,865 pemegang berusia antara 12 hingga 20 tahun, 162,856 (21 hingga 59 tahun) dan 98,471 (60 tahun dan ke atas),” katanya.
BERNAMA