Duterte Arah Mula Bunuh

Espenido (kanan) dilantik sebagai timbalan pengarah polis untuk operasi di Bacolod, Rabu lalu. Foto Agensi

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte memberi kebenaran kepada pegawai kanan polis yang sebelum ini dikaitkan dengan operasi perang dadah supaya ‘mula membunuh’ dalam tugasan barunya memerangi dadah di pulau tengah negara itu, Negros.

Al Jazeera melaporkan, ketika berucap dalam pertemuan dengan ahli perniagaan di Manila kelmarin, Duterte berkata, Leftenan Kolonel Jovie Espenido perlu melaksanakan perang kerajaan membasmi dadah di bandar Bacolod yang mempunyai lebih 560,000 penduduk.

“Bacolod terjejas teruk akibat dadah. Saya letakkan Espenido di sana.

“Saya kata, ‘Pergi sana dan anda bebas membunuh siapa saja, mula membunuh di sana. Kita berdua akan masuk penjara,” katanya.

Duterte tidak pernah menghiraukan amaran beliau boleh didakwa kerana kenyataannya mengenai membunuh suspek dalam perang dadah, malah berulang kali mempersendakan pertubuhan hak asasi manusia dan masyarakat antarabangsa.

Beliau yang mengumumkan tidak peduli dengan hak asasi manusia, mengeluarkan arahan ‘tembak untuk bunuh’ jika suspek dadah melawan ketika ditahan.

Duterte melantik Espenido sebagai timbalan pengarah polis untuk operasi di Bacolod, Rabu lalu.

Pada 2017, beliau menjadi ketua polis di bandar Ozamiz, Mindanao, ketika polis menembak mati Datuk Bandar Reynaldo Parojinog, isterinya dan 13 lagi dalam serbuan menjelang subuh yang menurut keluarga mangsa pembunuhan terancang.

Espenido juga menjadi ketua polis Albuera di Leyte pada 2016 dan datuk bandar itu, Rolando Espinosa Sr, meninggal dunia dalam tahanan.

Espinosa menyerah diri kepada polis selepas Duterte memberi amaran akan memburunya jika dia tidak menyerah diri. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *