Pengistiyharan Kemerdekaan Di Jesselton 1963: Sejarah Penting Bagi George Laim Jusit

George Laim Jusit – Foto BERNAMA

KENINGAU, 14 Sept: George Laim Jusit, 67,  hanya berusia 11 tahun ketika bendera Malaysia dinaikkan di Padang Bandaran Jesselton, yang kini dikenali sebagai Kota Kinabalu, pada 16 September 1963.

“Saya berdiri beberapa meter dari tiang bendera. Teruja, bangga kerana orang yang menaikkan bendera Malaysia adalah ayah saya, Sarjan Jusit Rantai (Mendiang),” katanya.

Mengimbas kenangan bersejarah itu, George yang merupakan anak sulung kepada Jusit memberitahu Bernama di sini, dua adiknya Juliana dan Jane yang masing-masing berumur 10 dan lapan tahun turut  berada bersamanya untuk menyaksikan hari yang sangat penting itu.

“Sir William Allmond Codrington Goode (Gabenor Borneo Utara British ketika itu) dan beberapa pegawai British bersilih ganti memandang ke arah kami bertiga sambil tersenyum.

“Dan di barisan hadapan di situ saya lihat Tun Datu Mustapha Datu Harun (Bekas Ketua Menteri Sabah), Donald Stephen (Allahyaraham Tun Fuad Stephens) serta barisan kepimpinan negeri Sabah yang lain,” katanya.

Detik terus diingati George apabila selepas upacara bersejarah itu, Sir William menghampirinya sambil meletakkan telapak tangan di kepala beliau.

George berkata sesuatu yang mengembirakan beliau pada ketika itu ialah upacara pengisytiharaan Malaysia pada hari tersebut dihadiri oleh ribuan rakyat daripada pelbagai bangsa, agama dan pegangan politik.

“Mereka terdiri lapisan rakyat bersatu tanpa sebarang keraguan untuk melaungkan perkataan ‘Merdeka’ bersama dengan sepenuh hati,” katanya.

Ayah George, Jusit yang pada ketika itu berumur 27 tahun dipilih daripada 100 pegawai polis untuk menaikkan bendera kerana beliau satu-satunya pegawai yang fasih berbahasa English.

“Ayah saya juga dipilih untuk menurunkan bendera Union Jack sebaik Sir William menaiki kapal laut untuk kembali ke England,” katanya.

Mengimbau pengalamannya sebelum dan selepas kemerdekaan, George berkata keadaan sekarang  sangat jauh berbeza kerana kualiti penghayatan segelintir rakyat terhadap nilai kemerdekaan semakin luntur.

Katanya begitu banyak provokasi berunsur hasutan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab setiap kali sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia diraikan.

“Semua apa yang berlaku ini berpunca daripada isu-isu sensitif yang dipolitikkan…sebenarnya apa yang berlaku hari ini (provakasi kemerdekaan) dicipta oleh orang-orang politik.

“Berbeza politik pada ketika itu tidak membataskan aspirasi rakyat, mereka bebas berpolitik tetapi tidak ada perpecahan dalam kalangan rakyat,” katanya sambil menambah ketika itu hanya ada parti Parti Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) pimpinan Tun Donald Stephens dan Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pimpinan Tun Datu Mustapha.

“Pemimpin kedua-dua parti ini walaupun berhadapan dengan perang dingin mengenai hala tuju Sabah.. tetapi ketika pengisytiharan kemerdekaan, pemimpin dan rakyat bersatu tanpa sebarang prasangka,” katanya.

Dalam konteks Sabah, George berkata kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menunaikan permintaan Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selepas merdeka, apa yang rakyat perlu ialah kesamarataan pencapaian kepada semua aspek khususnya pendidikan, ekonomi, pembangunan, keselamatan, sosial dan kesihatan,”

“Rakyat Sabah memerlukan semua itu sebagaimana yang terkandung dalam MA63, sesuai dengan laungan berulang kali pemimpin ketika bendera Malaysia dikibarkan di padang bandaran Jesselton pada 16 September 1963,” kata George.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *