MA63: Heret Kerajaan Persekutuan Ke Mahkamah Bukan Penyelesaian – Shafie Apdal

Shafie berbincang dengan Jeffrey ketika sidang Dewan pada Rabu.

KOTA KINABALU: Tindakan mengheret Kerajaan Persekutuan ke mahkamah dalam menyelesaikan isu tuntutan hasil Kerajaan Sabah bukan suatu langkah yang wajar, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, terdapat banyak pendekatan dan pilihan lain yang boleh diambil dalam menyelesaikan tuntutan Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita sedar tuntutan ini sudah begitu lama, iaitu lebih 50 tahun dan kita sepatutnya sudah berjaya merealisasikannya sejak dari awal kerana ia satu kerangka yang termaktub dalam perlembagaan.

“Banyak pilihan yang boleh dikenalpasti misalnya untuk mengetahui jumlah sebenar yang mewakili 20 peratus royalti minyak, berapa bilion jumlahnya.

“Jika dilihat dalam pengagihan royalti Petronas, Sabah dan Sarawak hanya menerima lima peratus royalti sahaja namun, Kerajaan Persekutuan menerima dividen, royalti lima peratus dan hasil cukai,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan) yang mencadangkan Kerajaan Sabah mengheret Kerajaan Persekutuan ke mahkamah sekiranya tuntutan royalti 20 peratus yang dituntut sejak lebih 50 tahun lalu tidak ditunaikan.

Mohd Shafie berkata, perkara berkaitan tuntutan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ini bukan perkara yang mudah.

Katanya, beliau juga telah mengarahkan dua badan iaitu Kementerian Kewangan Negeri dan Unit Perancangan Ekonomi supaya meneliti mengenai tuntutan-tuntutan Sabah ini dan beberapa perkara telah dipersetujui.

“Namun, tidak wajar untuk saya mengumumkannya di sini. Lebih baik biarkan Perdana Menteri yang membuat pengumuman itu selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet MA63.

Mengenai perkembangan tuntutan kajian semula pemberian khas kepada Sabah, Kerajaan Sabah mengemukakan satu draft garis panduan bagi pelaksanaan kajian semula pemberian khas yang lebih berstruktur kepada Kerajaan Persekutuan pada 9 Julai lalu.

Buat masa ini, Kerajaan Sabah masih menanti maklum balas dari Kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu.

BorneoToday