Beratus Juta Dibelanja Hanya Untuk Pungut Sampah – Jaujan

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Jaujan Sambakong

KOTA KINABALU: Perbelanjaan sehingga beratus juta Ringgit hanya untuk memungut dan menguruskan sampah-sampah yang dibuang oleh masyarakat.

Itulah kerugian yang ditanggung kerajaan disebabkan kesedaran sivik masyarakat untuk mengurus sampah masing-masing masih rendah dan hanya bergantung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Jaujan Sambakong berkata, walaupun PBT mempunyai kelengkapan dan peralatan yang cukup, namun jika masyarakat masih suka membuang sampah merata-rata maka segala-galanya tidak berguna.

“Apa yang lebih penting bagi kita sekali pun kita ada mekanisme atau pun peralatan secukupnya kalau masyarakat masih juga tidak sedar kerana sampah ini datangnya daripada masyarakat sendiri, sebab itu kita lebih membuat pendekatan memberi kesedaran.

“Kalau masyarakat ada tanggungjawab saya percaya kos yang dibelanjakan beratus juta untuk pungutan sampah ini yang tidak mendatangkan hasil kalau dapat dimanfaatkan untuk pendidikan, kesihatan maka lebih baik,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Kesedaran sivik masyarakat untuk mengurus sampah masing-masing masih rendah dan hanya bergantung kepada pihak berkuasa tempatan.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Loretto S. Padua Jr. (ADUN Dilantik – Keningau) tentang pengurusan sampah di negeri ini termasuk keadaan di Keningau yang terdapat banyak longgokan sampah.

Jaujan berkata, cita-cita Malaysia menjadi negara maju tidak akan tercapai jika persekitannya dicemari dengan sampah sarap.

Katanya, kerisauan yang wujud sekarang adalah bukan sahaja sampah di daratan tetapi di dalam laut terutama di kawasan pelancongan seperti Pulau Gaya dan Semporna

Sementara itu, mengulas tentang longgokan sampah di daerah Keningau, kata Jaujan, Majlis Daerah Keningau telah menubuhkan lima pasukan pekerja yang lengkap dengan peralatan kebersihan untuk membersihkan sampah sekali seminggu.

“Kekerapan kerja-kerja pembersihan ini akan ditambah sebanyak dua kali apabila bilangan pekerja dan peralatan kebersihan ditambah dalam masa terdekat,” kata beliau.

BorneoToday