Peter Bidas ADUN Kiulu Pertikai Pembinaan Keretapi KK-Kudat

DATUK PETER ANTHONY

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony membidas tindakan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu) yang mempertikai usaha kerajaan membina keretapi Kota Kinabalu (KK)-Kudat yang dianggarkan bernilai RM5.2 bilion.

Beliau berkata, ketika Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang menelan belanja RM1bilion dibina, kenapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu tidak mempertikaikan pembinaan itu. Walhal pembinaan konvensyen berkenaan ketika itu tiada manfaatnya.

“Kenapa mesti mempertikaikan pembinaan keretapi KK-Kudat. Kerajaan berhasrat membina pelabuhan di Limau-Limauan Kudat dan kerajaan merancang untuk menggabungkan rangkaian keretapi ini dengan pelabuhan berkenaan.

“Maka, selain akan digunakan sebagai pengangkutan awam kepada penduduk setempat, keretapi itu akan digunakan untuk pelabuhan berkenaan.

“Apa salahnya membina rangkaian keretapi yang boleh menghubungkan masyarakat setempat dengan kemudahan awam,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Adun Kiulu dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Persidangan DUN Sabah, di sini pada Selasa.

Adun Kiulu itu mempertikai kenapa peruntukan bagi pembinaan keretapi KK-Kudat itu tidak digunakan untuk menaiktaraf jalan-jalan daif di kampung serta menyediakan kemudahan bekalan air bersih.

Peter, yang juga Adun Melalap menyatakan jalan-jalan di luar bandar akan turut diberi keutamaan dan beliau sendiri sudah menjelajah seluruh Sabah bagi mengenalpasti mana-mana jalan kampung serta jambatan yang perlu pembaikan.

“Jika saya dikatakan tidak melaksana pembaikan jalan-jalan kampung, itu tidak benar dan mungkin Yang Berhomat (Kiulu) tidak datang semasa taklimat yang kita adakan di Tuaran,” ujarnya.

Kemudian mengenai pertanyaan Datuk Isnin Aliasnih (BERSATU-Klias) agar perkasakan dahulu aspek keselamatan di sepanjang laluan keretapi kerana masih berlaku kemalangan, Peter berkata, isu ketiadaan pagar keselamatan itu berlaku sejak pemerintahan kerajaan terdahulu.

Dalam mengatasi masalah ketiadaan pagar keselamatan di sepanjang laluan keretapi dari KK-Tenom, beliau telah mengarahkan Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) agar membina pagar di kiri dan kanan laluan keretapi demi keselamatan orang ramai.

Katanya, selepas mengambil alih kepimpinan dalam Kementerian Pembangunan Infrastruktur, beliau telah melawat sepanjang laluan keretapi KK-Tenom dan memang tiada pagar di sepanjang laluan. Masalah ini dilihat berlaku sejak kerajaan lama.

“Atas sebab itu, kita membuat perancangan untuk membina pagar keselamatan ini. Ia kerana setiap hari kita dapati terdapat 1,600 orang pengguna termasuk 700 pelajar yang menaiki keretapi dari Tenom-KK menggunakan kemudahan keretapi itu.

“Jika dilihat masalah kemalangan turut berlaku sejak dahulu lagi,” jelasnya.

Peter berkata, JKNS turut menaiktaraf kemudahan keretapi di Papar dengan menggunakan konkrit demi keselamatan.

Menurutnya, jika bercakap soal keselamatan sepanjang laluan keretapi KK-Tenom, isu ketirisan yang menyebabkan RM300juta lesap semasa pemerintahan kerajaan lama mendatangkan masalah kepada kerajaan sekarang.

Bagaimanapun, kerajaan baharu ini akan merancang pembinaan pagar keselamatan itu. Namun, proses perolehannya akan mengambil sedikit masa iaitu antara tiga hingga enam bulan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *