KOTA KINABALU: Empat individu termasuk dua lelaki yang dipercayai ‘merempit’ ditahan polis dalam Op Mabuk di sekitar bandar raya ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi yang bermula dari jam 1 hingga 4 pagi itu menyaksikan sebanyak 70 kenderaan membabitkan 54 orang diperiksa.
“Polis juga menjalankan ujian nafas terhadap 10 pemandu yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dengan dua daripadanya didapati positif.
“Daripada jumlah itu, kedua-dua individu itu didapati positif melebihi alkohol dalam darah selepas ujian nafas kedua dijalan terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Habibi berkata, kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan jika disabitkan kesalahan.
“Dalam operasi itu juga, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 32 tahun kerana dipercayai melakukan aktiviti merempit dan memandu secara melulu di jalan raya.
“Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 42A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 41 keping saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan pada operasi berkenaan.
“Operasi ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas.
“Selain itu, bagi mengelak individu memandu ketika dibawah pengaruh alkohol yang mana boleh membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Terdahulu, operasi berkenaan membabitkan tiga pegawai kanan dan 20 anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kota Kinabalu.
SabahNewsToday