Pengurusan Kewangan Negeri Sabah Capai Tahap Cemerlang – Audit Negara

KOTA KINABALU: Sebanyak 13 daripada 29 kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri Sabah yang diaudit pada 2018 mencapai tahap pengurusan kewangan Cemerlang, menurut Laporan Ketua Audit Negara.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018, Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, tiga lagi kementerian, jabatan, agensi negeri berkenaan yang diaudit mencapai tahap Baik, 10 (Memuaskan), dua (Kurang Memuaskan) dan satu (Tidak Memuaskan).

“Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntabiliti) Berasaskan Risiko ke atas tiga Kementerian dan 16 Jabatan Negeri Sabah diaudit setiap tahun manakala enam badan berkanun negeri dan empat pihak berkuasa tempatan diaudit secara pusingan,” menurut laporan berkenaan.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, masih terdapat beberapa kementerian, jabatan dan agensi yang perlu meningkatkan dan memantapkan lagi kawalan dalaman pengurusan kewangan agar isu yang dibangkitkan tidak berulang serta mengurangkan risiko ketidakpatuhan yang lebih serius.

Sehubungan itu Ketua Audit Negara mencadangkan jabatan dan agensi berkenaan mengambil tindakan sewajarnya termasuk memastikan kemahiran dan pengetahuan pegawai yang telibat dalam pengurusan kewangan dipertingkatkan menerusi latihan secara berterusan serta penilaian ke atas kemahiran dan keupayaan pegawai berkenaan dilakukan dari semasa ke semasa.

Selain itu, isu yang dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara dan Unit Audit Dalam perlu diambil tindakan pembetulan dan pencegahan.

Ketua Jabatan juga mengambil tindakan sewajarnya ke atas pegawai yang dikenal pasti telah melakukan ketidakpatuhan serius sehingga menyebabkan kerugian kepada Kerajaan dan menjejaskan imej Kerajaan.

Ketua Audit Negara juga mencadangkan budaya kerja berasaskan amalan terbaik perlu diwujudkan bagi mengekalkan kecemerlangan tahap prestasi pengurusan kewangan dengan Buku Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Daripada Perspektif Jabatan Audit Negara Edisi 2, dijadikan rujukan.

Selain itu, penyeliaan lebih rapi terhadap kerja yang dilaksanakan oleh pegawai bawahan yang terbabit dalam pengurusan kewangan perlu dilakukan bagi memastikan peraturan kerajaan sentiasa dipatuhi serta pembabitan secara fizikal dalam urusan tersebut.

Ketua Audit Negara juga mencadangkan supaya pusingan tugas setiap lima tahun dilaksanakan dalam kalangan pegawai yang diberi tanggungjawab kewangan, terutama dalam pengurusan terimaan, perolehan serta perbelanjaan untuk memastikan tiada ruang dan peluang untuk pegawai melakukan ketidakpatuhan yang serius.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *