Bapa Hempas Anak Sampai Mati

Aripin dituduh membunuh anaknya kerana isterinya berhutang. FOTO Agensi Agensi

JAKARTA: Hanya disebabkan RP1.8 juta (RM528), seorang bapa berusia 28 tahun sanggup melempar anaknya yang baru berusia dua tahun ke lantai selepas mengetahui isterinya berhutang dengan jiran mereka di Kampung Kalimaro, Kecamatan Kedungjati, Kabupaten Grobogan, Jawa Tengah.

Kompas melaporkan, Aripin yang juga dikenali dengan sikap panas barannya, mengaku kepada polis bahawa dia membunuh anaknya yang hanya dikenali sebagai ZT kerana berang dengan perbuatan isterinya Nofiyanti, 26, yang mempunyai banyak hutang dengan jirannya, Lasmanah, 48.

Polis berkata, suspek dan isterinya berjumpa dengan jirannya untuk menyelesaikan hutang selepas mendapat wang dari bapa mertuanya, Doto.

Tetapi suspek menjadi berang apabila jumlah hutang itu dilaporkan terlampau banyak sehingga mengugut mahu membunuh Lasmanah, isteri dan anaknya.

“Suspek melempar mangsa ke lantai ketika di rumah jirannya itu menyebabkan bayinya tidak sedarkan diri.

“Jiran yang berdekatan di tempat kejadian segera membawa mangsa ke Hospital RS PKU Muhamadiyah tetapi disahkan maut akibat cedera parah di kepala.

“Suspek tidak dapat mengawal emosinya sehingga membunuh anaknya sendiri malah disahkan tidak menghidap sakit mental dan kini dalam tahanan polis,” kata Polis Daerah Grobogan, AKP Agus Supriyadi Siswanto.

Sementara itu, Aripin mengaku menyesal dengan perbuatannya.

“Fikiran saya gelap selepas mengetahui isteri berhutang sebanyak itu. Saya tidak pernah menyuruh dia meminjam wang dari jiran.

“Tindakan saya melempar anak adalah spontan dan berharap tiada apa-apa terjadi padanya tetapi kini saya sungguh menyesal,” katanya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *