KOTA KINABALU: Hujan lebat setempat yang berlaku sejak Mei lalu khususnya di pantai barat Sabah dijangka berterusan sepanjang minggu ini dan boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan yang berisiko.
Pengarah Jabatan Meteorologi negeri, Ambun Dindang, berkata walaupun pada Monsun Barat Daya ini keadaan cuaca secara relatifnya adalah lebih kering tetapi hujan lebat boleh berlaku pada fasa awal monsun.
“Pada masa ini, pertembungan angin dari darat dan laut berlaku ditambah dengan kelembapan udara yang tinggi menyebabkan pembentukan awan hujan terutamanya di kebanyakan kawasan pantai barat. Sebab itu beberapa kawasan di pantai barat terutamanya Kota Kinabalu dan Penampang kerap berlaku hujan pada waktu petang.
“Keadaan ini (pertembungan angin) kondusif untuk pembentukan awan besar yang boleh menyebabkan berlakunya hujan lebat setempat dengan kuantiti hujan agak lebat dalam tempoh satu hingga dua jam.
“Apabila sesebuah kawasan itu tidak dapat menampung hujan lebat (khususnya yang berdepan masalah perparitan), ia akan menyebabkan berlakunya banjir kilat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi cuaca semasa di Sabah berikutan hujan lebat pada Sabtu lalu yang menyebabkan beberapa kawasan termasuk jalan raya seperti di Kampung Tebobon, Telipok dan Rugading mengalami banjir kilat.
Keadaan itu menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya hingga lebih lima jam, khususnya kepada pengguna yang menggunakan laluan Kota Kinabalu-Kota Belud, yang menuju ke pusat bandar raya dan sebaliknya.
“Apabila aktif sepenuhnya Monsun Barat Daya nanti, angin bertiup secara konsisten dari arah Barat Daya maka cuaca akan bertambah baik. Justeru, dijangkakan sehingga hujung minggu ini, hujan lebat setempat masih berlaku di kawasan pantai barat.
“Oleh kerana ia boleh membawa hujan lebat, ada kemungkinan ia boleh membawa kepada tanah runtuh khususnya di kawasan lereng bukit dan tanah yang tidak kukuh,” katanya.
Bagaimanapun, katanya ia tidak akan menyebabkan banjir besar seperti ketika Monsun Timur Laut.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar, berkata anggota APM sentiasa bersiapsiaga untuk menghadapi apa juga bencana susulan hujan lebat setempat yang dijangka berterusan sepanjang minggu ini.
“Walaupun hujan lebat setempat ini hanya menyebabkan banjir kilat sahaja, tetapi anggota APM di seluruh negeri sentiasa bersiap sedia, malah anggota kita juga sudah menjalani latihan secara berkala untuk menghadapi apa juga bencana,” katanya. – Berita Harian