Warga Emas Cedera Dipukul Empat Lelaki Guna Botol Minuman Keras Di Inanam

KOTA KINABALU: Seorang warga emas mengalami kecederaan dikepala selepas dipukul sekumpulan lelaki menggunakan botol minuman keras di pekan Inanam, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, lelaki berusia 73 tahun tersebut dipercayai berjalan melalui lorong antara kedai dan Pasar Besar Inanam untuk pergi ke sebuah kedai minum bagi tujuan menonton televisyen.

Gambar yang tular di media sosial whatsapp

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata bagaimanapun mangsa secara tiba-tiba didatangi empat lelaki tidak dikenali dan salah seorang suspek menyatakan untuk meminjam telefon bimbit mangsa.

George berkata mangsa yang memberi pinjam telefon bimbit kemudiannya mahu meminta semula telefon milik mangsa namun seorang lagi suspek memarahi warga emas berkenaan sebelum semua suspek memukul kepala mangsa menggunakan botol minuman keras secara bergilir-gilir sebanyak tiga kali.

“Mangsa yang berada dalam keadan cedera cuba meminta pertolongan dan secara kebetulan terdapat seorang anggota Rela berada di kawasan berhampiran.

“Anggora Rela terbabit membantu mangsa meleraikan pergaduhan sebelum menelefon anak mangsa bagi memaklumkan keadaan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Keadaan warga emas yang mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth

Dalam pada itu, George berkata warga emas itu telah membuat pemeriksaan barangan milik mangsa dan mendapati ada barangan yang hilang seperti seutas rantai berwarna emas, sebentuk cincin emas dan telefon bimbit jenama Lenovo yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM2,000.

Beliau berkata mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth serta menjalani pemedahan darah beku di kepala pada hari sama dan kini berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, George berkata pihaknya  kini giat mengesan dan memburu empat suspek lelaki terbabit dalam kes samun terbabit.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat lengkap berkaitan kejadian ini boleh menyalurkan infomasi kepada pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata hingga menyebabkan kecederaan.

Tambahnya hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan sekiranya disabitkan kesalahan. – SabahNews Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *