YB Lompat Parti Perlu Kosongkan Kerusi Dan Dibenarkan Bertanding Semula

Chan Foong Hin

KUALA LUMPUR: Pindaan undang-undang perlu dilakukan agar kerusi wakil rakyat yang melompat parti dikosongkan dan diundi semula.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata undang-undang juga harus dipinda supaya wakil rakyat berkenaan dibenarkan menyertai pilihanraya kecil bagi kerusi itu semula.

Beliau kurang bersetuju dengan jawapan terhadap soalannya daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin mengenai isu ini di Dewan Rakyat semalam.

Chan berkata beliau mencadangkan agar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dipinda agar undang-undang anti lompat parti boleh dibuat.

Turut dicadang ialah penghapusan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan supaya seseorang wakil rakyat tidak dilucut hak untuk bertanding semula di kawasannya selama lima tahun jikalau meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

“Saya berpegang kepada tiga prinsip iaitu kedaulatan rakyat di bawah sistem demokrasi berparlimen, rakyat berhak memilih wakil mereka; wakil rakyat harus berpegang kepada akauntabiliti dan bertanggungjawab kepada pengundi; namun, wakil terpilih juga mempunyai kebebasan berpersatuan,” katanya.

“Dengan demikian, sesiapa yang lompat wajar kosongkan kerusinya untuk pemilihan semula dan dia tidak dilucut hak untuk bertanding semula,” tambahnya.

Semalam, Mohamed Hanipa memberitahu Chan bahawa undang-undang anti lompat parti bertentangan dengan ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 1992.

Beliau merujuk kepada kes di Kelantan pada awal 1990an di mana dua ahli dewan undangan negeri dari Semangat 46 melompat masuk Umno.

Penguatkuasaan undang-undang anti lompat parti kerajaan negeri Kelantan ketika itu menyaksikan Nordin Salleh dan Wan Mohamed Najib Wan Mohamed dilucut sebagai Adun dan kedua mereka kemudian kalah dalam pilihanraya kecil bagi kerusi masing-masing.

Namun Mahkamah Persekutuan memutuskan pelucutan jawatan mereka sebagai Adun Kelantan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan mereka kekal menjadi Adun.

“Kita sedar terdapat keperluan bagi undang-undang anti lompat parti terutamanya di Sabah tetapi kita tertakluk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan 1992,” katanya.

Bagaimanapun, Chan berkata undang-undang membolehkan wakil rakyat yang meletak jawatan untuk bertanding semula hanyalah terpakai bagi mereka yang melompat parti tetapi bukan mereka yang dilucutkan jawatan akibat kesalahan jenayah dan lain-lain.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *