MA63: Tidak Banyak Perbezaan Pendapat Antara Kerajaan Persekutuan, Negeri


PUTRAJAYA – Tidak banyak perbezaan pendapat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak timbul pada mesyuarat kedua Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) Untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) Untuk Menyemak MA63 di Putrajaya hari ini. Gambar Bernama

Beliau berkata beberapa kertas kerja berkenaan pelbagai fungsi kerajaan dibentangkan pada mesyuarat itu, dan hampir kesemuanya akan dirujuk kepada Jawatankuasa Teknikal untuk dikaji secara mendalam sebelum dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya.

“Ada yang kita sukar sedikit nak dapat keputusan, ada yang kita tak boleh selesai, kita rujuk kepada Jawatankuasa Teknikal, mereka akan melihatnya (mengkajinya).

“Contohnya mengenai duti setem, ini memerlukan kajian yang lebih mendalam,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Perdana Putra, di sini hari ini.

Mesyuarat selama hampir dua jam itu dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Antara yang turut serta ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Kerja Raya Baru Bian dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) Untuk Menyemak MA63 bertujuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dalam Malaysia, pertama kali bermesyuarat pada 17 Dis lepas.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *