Blok baharu Hospital Tawau, Papar siap Mei tahun depan

KOTA KINABALU: Blok baharu Hospital Tawau dan Papar bakal siap dibina pada Mei tahun depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

Menurut beliau, RM100 juta diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri bagi menaik taraf dan membina lebih banyak kemudahan kesihatan di negeri ini.

“Kita mempunyai banyak projek yang masih dalam peringkat perancangan dan pelaksanaan seperti projek pembinaan blok baharu di Tawau yang dijangka siap pada Mei tahun depan, begitu juga dengan projek di Papar.

“Selain itu, pembinaan klinik kesihatan di Pulau Sebatik juga telah diluluskan dan kini dalam proses mencerah tanah.

“Setelah mendapat kelulusan pembangunan, tender akan dibuka pada Jun atau Julai tahun ini,” ujarnya.

Tambah Chen, kementeriannya sentiasa berusaha untuk membangunkan perkhidmatan kesihatan di Sabah supaya dapat dinikmati oleh seluruh lapisan rakyat.

“Kita maklum bahawa Sabah mempunyai kawasan yang sangat besar dan kementerian akan sebaik mungkin memastikan pembangunan perkhidmatan kesihatan di negeri ini sama seperti di Semenanjung.

“Selain itu, kita juga akan berusaha mendapatkan peruntukan yang bersesuaian bagi memastikan projek-projek dan fasiliti di Sabah dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di pejabatnya pada Isnin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *