Lembah Tertua Dalam Prasejarah Borneo Ditemui

Lembah Mansuli

LAHAD DATU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Sabah) meneroka potensi Archaeotourism di Lembah Mansuli, Lahad Datu di bawah Sabah Sustainability Volunsharing Program (SSVP) dengan kerjasama Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah.

Archaeotourism atau lebih dikenali sebagai pelancongan arkeologi berfokus kepada aktiviti melawat tempat kuno dan bersejarah. Ciri eksotik tapak arkeologi dijumpai juga boleh menjadi tarikan kepada tapak tersebut.

Lembah Mansuli

Lembah Mansuli yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Lahad Datu, mempunyai dua tapak arkeologi, iaitu tapak ekskavasi Mansuli dan Gua Samang Buat. Setiap tapak ekskavasi mempunyai penemuan yang membuktikan Lembah Mansuli telah didiami seawal 235,000 hingga 11,000 tahun yang lalu dan seterusnya menjadikan lembah ini tertua dalam prasejarah Borneo.

Penemuan arkeologi di Lembah Mansuli juga menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam mengenai budaya palaeolitik terutamanya kepada penghijrahan awal manusia ke Borneo dan penyesuaian mereka terhadap persekitarannya.

Profesor Madya dalam bidang Pelancongan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berkata, Archaeotourism biasanya mengintegrasikan aktiviti pendidikan dan rekreasi seperti bersiar-siar, mendaki dan meneroka gua.

“Kami sangat teruja bila mendapat tahu bahawa Lahad Datu mempunyai laman prasejarah tertua di Borneo dan dapat melihat dengan sendiri secara realiti tapak ekskavasi dan Gua Samang Buat yang pernah didiami oleh masyarakat prasejarah.

“Lembah Mansuli bukanlah satu destinasi pelancongan yang terkenal pada masa kini tetapi ia berpotensi dan dengan mempromosikan Archaeotourism, pengunjung dapat menikmati dan mempelajari warisan Borneo seterusnya dapat memuliharaan tapak arkeologi ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Pengarah MOTAC Sabah, Awang Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, pihaknya merancang untuk meneruskan program itu pada masa hadapan.

“Kami telah bekerjasama dengan UMS sejak 2015 lagi, di mana kami pernah menerokai Ekopelancongan Tagal dan Pelancongan Gunung Berapi. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Muzium Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah kerana membantu program kami pada tahun ini.

Ahmad Zaki berkata, MOTAC Sabah dan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, UMS menganjurkan SSVP dengan memberi fokus kepada penerokaan produk pelancongan baharu dan mendidik para peserta untuk menjadi pelancong yang lestari dan bertanggungjawab.

Program SSVP adalah pemenang Anugerah IKON (High Impact University- Community Engagement Award) dari UMS pada tahun 2016. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *