Saingan Piala Malaysia Sabah musim ini berakhir

KOTA KINABALU: Perak menepati ramalan mara ke final Piala Malaysia apabila menang dengan agregat 7-2 walaupun sekadar seri 2-2 berdepan Sabah dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

Walaupun memiliki bekalan lima gol, Perak terlebih dulu mencemaskan pintu gol Sabah menerusi Gilmar Jose Da Silva Filho, namun cubaannya diselamatkan penjaga gol, Rozaimie Rohim dalam keadaan satu lawan satu.

Rozaimie sekali lagi menjadi penyelamat tuan rumah apabila menghalang cubaan Muhammad Firdaus Saiyadi, juga dalam keadaan satu lawan satu.

Pada minit ke-34, Sabri Sahar menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol pertama untuk pasukannya hasil penyudah baik dalam kotak penalti selepas satu sepakan sudut daripada Elias Sulaiman bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Gol itu mencetuskan semangat Sabah untuk terus memburu jaringan dan hampir memperolehnya pada minit ke-38 hasil sepakan percuma Elias, bagaimanapun ia diselamatkan penjaga gol lawan dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bermula separuh masa kedua, Sabah terus berusaha menambah gol dan mendapat peluang terbaik pada minit ke-67, namun tandukan Rodoljub Paunovic tidak menepati sasaran.

Pada minit ke-74, Gilmar menambah kesukaran Sabah apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti selepas Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dijatuhkan Rozaimie di dalam kotak penalti.

Gilmar kemudian menambah derita Sabah apabila meledak gol kedua pada minit ke-80 hasil satu penyudah baik selepas memperdayakan penjaga gol Sabah bagi menjadikan kedudukan berpihak kepada mereka 2-1.

Ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil kemudian  menyelamatkan pasukannya daripada kecundang di gelanggang sendiri apabila menanduk gol penyamaan pada minit ke-85 bagi menjadikan kedudukan 2-2 dan kedudukan itu kekal hingga penamat.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *