Polis Tawau Rampas Syabu Bernilai RM74,500, Empat Suspek Ditahan

TAWAU :Polis Daerah Tawau berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 2.13 kilogram bernilai kira-kira RM74,500 dalam satu serbuan di sebuah bilik stor bengkel membaiki kenderaan di kawasan Hill Top, di sini, pada 7 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau hasil maklumat risikan.

“Dalam serbuan itu, tiga lelaki yang berada di dalam bilik stor ditahan dalam keadaan mencurigakan, termasuk seorang lelaki berbangsa Cina.

“Pemeriksaan lanjut menemukan satu kotak berwarna coklat bersalotep putih yang mengandungi dua bungkusan plastik berisi ketulan hablur disyaki syabu seberat 2,129.86 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, susulan tangkapan tersebut, kira-kira jam 1.30 petang hari sama, seorang lagi lelaki berbangsa Cina turut ditahan di kawasan perkarangan Lapangan Terbang Tawau kerana dipercayai terlibat dalam rangkaian kes yang sama.

Empat suspek berumur antara 29 hingga 64 tahun itu terdiri daripada warganegara tempatan dan warga asing.

“Semakan rekod jenayah mendapati tiga suspek pertama tidak mempunyai sebarang rekod lampau, manakala suspek keempat mempunyai dua rekod jenayah membabitkan Seksyen 324 dan Seksyen 506/324 Kanun Keseksaan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif daripada sebarang jenis dadah,” katanya.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 Julai 2025 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *