Remaja Maut Tersepit Lori Dalam Kemalangan Di Jalan Keningau-Sook

KENINGAU : Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas kenderaan jenis Perodua Alza yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Batu 11, Jalan Keningau–Sook, malam tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.27 malam sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.

Setibanya di lokasi pada jam 9.47 malam, pasukan bomba mendapati seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pemandu lori terlibat bagaimanapun dilaporkan selamat dan telah dikeluarkan oleh orang awam.

Komander Operasi, PBK I Raizaain AG Damit, berkata anggota bomba menggunakan peralatan khas Hydraulic Power Unit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Operasi menyelamat berjaya dilaksanakan dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi tersebut melibatkan seramai sembilan anggota JBPM bersama sebuah jentera FRT dan satu unit EMRS.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *