Jangan Perasan, BN Sabah Tak Pernah Pelawa PBS – Bung Moktar

Ketua Umno Sabah Bung Moktar

KOTA KINABALU : Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menawarkan sebarang pelawaan untuk menjalin kerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kenyataan PBS yang mendakwa menolak kerjasama dengan BN disifatkan sebagai sesuatu yang kelakar.

“Saya membaca kenyataan Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Joachim Gunsalam, yang mendakwa PBS menolak kerjasama dengan BN dalam PRN Sabah akan datang dengan rasa lucu.

“Saya ingin jelaskan dengan terang bahawa BN Sabah tidak pernah pun menghulurkan pelawaan kepada PBS untuk kembali atau bekerjasama. Jadi, timbul persoalan: apa sebenarnya yang beliau (Joachim) tolak?

“Ia kelihatan seperti satu lagi episod delusi politik, di mana seseorang membayangkan perbincangan dan rundingan yang sebenarnya tidak pernah berlaku. Kamu tidak boleh menolak pelawaan yang tidak pernah ditawarkan, jadi tolong jangan terlalu perasan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi terhadap Joachim yang mendakwa majoriti Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS tidak bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan UMNO-BN bagi menghadapi PRN Sabah.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah turut mengingatkan bahawa PBS pernah dikenali sebagai parti pembela hak rakyat Sabah, namun imej dan prinsip perjuangan itu kini semakin pudar.

“PBS yang ada kini hanya bayang-bayang kepada kegemilangannya yang dahulu.

“Identiti politiknya telah luntur akibat sikap tidak konsisten melompat gabungan, beralih kesetiaan dan mengkhianati rakan apabila menguntungkan.

“Kini, dalam usaha untuk kekal relevan, PBS cuba menampilkan diri sebagai pemain utama yang kononnya dilamar oleh BN,” katanya.

Menurut beliau, PBS seharusnya sedar bahawa kedudukannya kini tidak lagi signifikan dalam politik Sabah.

“Ia bukan lagi peneraju, sekadar menumpang di belakang parti-parti lain dalam kerajaan GRS.

“BN Sabah tidak berminat menjalin kerjasama dengan parti yang tiada hala tuju politik yang jelas atau kredibiliti.

“PBS sendiri yang memilih meninggalkan BN demi kepentingan sendiri. Tetapi perkara itu sudah ditutup.

“Kami tidak berminat menghidupkan semula legasi politik lapuk atau memulihkan pihak yang pernah mengkhianati kepercayaan kami,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, BN Sabah kini mahu menumpukan usaha membangunkan negeri ini bersama rakan politik yang berprinsip.

“Fokus BN Sabah ketika ini adalah untuk membangunkan semula negeri ini bersama rakan yang ikhlas dan berprinsip, bukan dengan parti yang terus bergantung pada nostalgia dan putaran naratif lama.

“Cukup-cukuplah dengan drama politik ini. Kepada Datuk Joachim dan PBS, hentikanlah sandiwara ini.

“Ini bukan era 1990-an. Pengundi hari ini bijak dan berpengetahuan. Tidak perlu mereka-reka cerita kononnya menolak BN sedangkan tiada pelawaan pun dibuat,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar sekali lagi mengulangi bahawa BN Sabah tidak pernah mempelawa PBS untuk kembali.

“Maka tiada apa yang perlu ditolak. Marilah kita bergerak ke hadapan dengan kematangan dan tinggalkanlah halusinasi politik itu di tempat asalnya iaitu dalam imaginasi kamu,” katanya.

SumbeR: Sinar Harian

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *