
KOTA KINABALU: Sabah terus berjaya mengekalkan prestasi terbaik melalui pungutan hasil negeri yang melebihi paras RM6 bilion iaitu sebanyak RM6.842 bilion pada tahun lepas.
Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman berkata, kejayaan itu adalah hasil sumbangan tenaga Ketua Menteri bersama semua pihak dalam mencapai kutipan hasil negeri yang cemerlang.
Katanya, pencapaian cemerlang itu juga melalui usaha kerajaan negeri dengan mempelbagaikan sumber hasil dan mengurangkan kebergantungan hasil negeri terhadap sumber berkaitan minyak dan gas.
Menurutnya, kerajaan negeri mengenakan Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas tiga produk baharu iaitu pasir silika, biojisim kelapa sawit yang dibawa keluar dari Sabah serta emas dan perak yang dilombong di negeri ini.
“Komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuhkan integriti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan negeri, terserlah melalui pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara ke atas Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sabah.
“Penyata untuk tahun berakhir 31 Disember 2023 mencatatkan prestasi cemerlang tanpa teguran selama 22 tahun berturut-turut.
“Saya juga menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh tadbir urus kewangan negeri melalui penambahbaikan prosedur dan garis panduan pengurusan kewangan, seperti tatacara perolehan dan pelantikan konsesi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Keenam Belas di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri turut meluluskan garis panduan pelantikan ahli-ahli lembaga pengarah serta menetapkan kriteria-kriteria khusus untuk merangka strategi serta mentransformasikan Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Dalam pada itu beliau turut memuji usaha proaktif dan keprihatinan kerajaan negeri dalam membasmi kemiskinan tegar melalui Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar Fasa Satu.
Katanya, pelbagai langkah proaktif dilaksanakan bagi memastikan pembangunan wilayah yang seimbang agar tiada kawasan yang terpinggir daripada menikmati hasil pembangunan.
Menurutnya, antara langkah yang dilaksanakan termasuklah pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar yang berjaya menoktahkan seramai 22,510 orang Ketua Isi Rumah (KIR) dalam senarai ‘locked figure’ miskin tegar pada 31 Julai 2024.
“Saya berharap agar langkah dan pemantauan yang berterusan akan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan golongan ini terus berjaya keluar dari garis kemiskinan.
“Selain itu, perhatian khusus juga diberikan untuk menyediakan rumah untuk golongan miskin di luar bandar, menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pada tahun ini, peruntukan program ini dinaikkan yang membolehkan sebanyak 40 unit rumah dibina di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 20 unit pada tahun lalu,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan terus menyediakan kemudahan asas perumahan yang berkualiti dan mampu milik melalui Projek Perumahan Awam dan Program Perumahan Mampu Milik.
Usaha itu katanya, bagi memastikan rakyat, khususnya dalam kalangan B40, mendapat akses kepada kediaman yang selesa dan berpatutan.
Turut hadir, Isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Faridah Tussin; Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah