
MEMBAKUT: Musibah banjir yang melanda Daerah Membakut disifatkan antara kejadian banjir terburuk sejak 2015, yang menyaksikan seramai 872 penduduk daripada 293 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas dipindahkan.
Statistik itu dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah pada 10 Mac, setakat jam lima pagi tadi.
Jumlah penduduk terjejas banjir (PTB) di daerah itu meningkat sejak Membakut diisytihar kawasan bencana banjir pada 8 Mac (Sabtu), jam tujuh pagi oleh Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut.
Sejak Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Membakut dibuka, JPBD Membakut mencatatkan seramai 831 PTB yang melibatkan sekitar 274 KIR pada Sabtu lepas.
Hari ini 10 Mac, jumlah PTB dan KIR bertambah kepada 872 penduduk membabitkan 293 keluarga, yang ditempatkan di beberapa buah PPS di Pekan Membakut.
Difahamkan kejadian banjir yang berlaku kali ini hampir sama dengan musibah banjir pada 2015, yang menyaksikan beberapa buah kampung dinaiki air, sama seperti kejadian yang berlaku pada 10 tahun lepas.
Kawasan kampung yang sering terdedah dengan risiko banjir pula mencatatkan peningkatan paras air yang luar biasa berbanding banjir sebelumnya, memberi gambaran kejadian itu hampir serupa dengan banjir pada 2015.
Beberapa jabatan dan agensi kerajaan dibawah JPBD Membakut telah digerakkan bagi memindahkan mangsa banjir di seluruh kampung yang terjejas semasa bencana itu, termasuk sepanjang penugasan di PPS terlibat.
Sukar untuk digambarkan betapa besarnya cabaran yang dilalui bukan sahaja kepada petugas jawatankuasa bencana tetapi juga mangsa banjir, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.
Tentunya banyak pihak terutama peniaga tamu, bazar Ramadan, pemilik perniagaan, pengusaha stesen minyak, sekolah, pusat pentadbiran, klinik dan lain-lain mengharapkan penyelesaian terbaik diambil bagi mengelak daripada perkara berulang.
Sungguh pun bencana alam adalah luar daripada kawalan dan tidak dapat dielakkan namun ia bukan penghalang untuk mencari penambahbaikan dengan perancangan rapi ke hadapan seiring kemajuan pembangunan.
Penambahbaikan dalam pelbagai aspek harus dilakukan dan dimulakan sekarang, demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat untuk manfaat jangka panjang dan berterusan.
Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah