Lelaki Menyamar Sebagai Polis Ditahan Di Ranau

Gambar Hiasan

RANAU: Polis menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dengan memperdaya seorang wanita dan menuntut sejumlah bayaran kononnya dia dapat membantu membebaskan seseorang yang ditahan kerana kesalahan jenayah dadah.

Suspek berusia 37 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di hadapan sebuah restoran di daerah ini, pada jam 1.30 tengah hari Khamis.

Ketua Polis Daerah Ranau, Pemangku Superintendan Mursalin Mahmud berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita pada 1 November lalu berkaitan penipuan penyamaran sebagai pegawai polis melalui panggilan telefon. 

Katanya, ibu saudaranya menerima panggilan telefon daripada seorang individu lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan menawarkan untuk menyelesaikan siasatan dengan tujuan membebaskan individu dalam tahanan pihak polis bersabit kes narkotik.

“Suspek meminta mangsa memindahkan wang ke akaunnya sebanyak dua kali. Transaksi pertama membabitkan jumlah RM1,000 dan transaksi kedua berjumlah RM500.

“Mangsa yang terpedaya dengan permintaan itu mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM1,500,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Mursalin berkata, susulan laporan daripada mangsa, polis menjalankan siasatan dan suspek berjaya diberkas.

“Hasil pemeriksaan, polis turut merampas dadah jenis syabu dengan berat kasar 5.60 gram. Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan lapan kesalahan narkotik dan dua kesalahan jenayah.

“Ujian air kencing, suspek didapati positif dadah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperdayakan yang membabitkan penipuan.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 170 kerana menyamar sebagai pegawai polis dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksysn 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Sementara itu, Mursalin mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati dan jangan layan panggilan telefon yang tidak dikenali.

“Beritahu pasangan, rakan atau ahli keluarga berkenaan panggilan yang diterima dan semak dengan balai polis berdekatan, bank atau agensi berkaitan untuk pengesahan. Jangan dedah maklumat perbankan kepada mana-mana pihak.

“Polis akan terus komited dalam membanteras dan mencegah jenayah daripada terus berleluasa khususnya di daerah ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *