PASCA Pilihan Raya Negeri Sabah ke-15 (PRN15) yang berlangsung bersama-sama Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 menyaksikan tiada sebuah koalisi tunggal mampu mendominasi politik negeri itu untuk membentuk kerajaan bersendirian.
Bermula dengan acuan pembentukan kerajaan Warisan Plus membabitkan gabungan kerjasama Parti Warisan (Warisan) pimpinan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Pakatan Harapan (PH) Plus sehingga PRN16.
Politik Sabah sekali lagi menyaksikan sebuah kerajaan campuran terbentuk pasca PRN16.
Dimulakan dengan formula kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah bersama Barisan Nasional (BN) sewaktu kempen pilihan raya negeri berlangsung, koalisi gabungan membentuk kerajaan itu kemudiannya berubah dengan kewujudan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Susulan gabungan kerjasama rasmi BN-Bersatu ketika itu berjaya memenangi 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 73 DUN, sokongan tambahan daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebanyak 13 kerusi membolehkan gabungan baharu GRS membentuk kerajaan dengan 38 kerusi.
Warisan yang disebut-sebut sebagai parti pilihan untuk mengekalkan kerajaan negeri bersama PH dan Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) bagaimanapun hanya berpuas hati dengan 32 kerusi DUN.
Ia diikuti calon Bebas (tiga DUN) yang kemudiannya menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).**media[2805441]**
Bagaimanapun, panas tidak sampai ke petang. Kestabilan politik mula teruji dengan fenomena ADUN lompat parti yang pastinya tidak asing untuk negeri darul ‘lompat’ itu.
Bermula dengan tindakan dua ADUN UPKO iaitu Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk James Ratib (Sugut) keluar parti dan menyertai Bersatu, ia disusuli pula oleh 11 ADUN Warisan.
Tidak cukup sekadar itu, hubungan dingin BN-Bersatu di peringkat pusat sepanjang penggal PRU14 ternyata memberi impak besar terhadap polarisasi politik Sabah.
Pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU15 menyaksikan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditabalkan sebagai Perdana Menteri ke-10 setelah menerima sokongan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), GRS dan Warisan yang akhirnya mengubah konfigurasi politik Sabah.
Disebabkan GRS adalah terkait dengan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu yang kini berada di blok pembangkang, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor bersama 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Sabah kemudiannya memutuskan keluar parti untuk kekal bersama GRS.
Keputusan itu dibuat atas faktor GRS menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, di samping kedudukan Hajiji dianggap tidak terjejas selagi mana GRS terus disokong oleh majoriti parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Kedudukan terkini Hajiji dan GRS itu bagaimanapun tidak diiktiraf oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar Raden dan Mohd Shafie.
Setelah berbulan timbul spekulasi ‘pakatan sulit’ BN Sabah dengan Warisan untuk menjatuhkan Hajiji, akhirnya Timbalan Ketua Menteri Sabah itu memulakan ‘Langkah Kinabalu’.
Pada 6 Januari 2023, Bung Moktar mengumumkan penarikan diri BN Sabah daripada kerajaan Hajiji.
Ini susulan mereka hilang kepercayaan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian BN dan PN membentuk kerajaan negeri selepas PRN16 didakwa dilanggar.
Mohd Shafie pula mendakwa tindakan ADUN Sulaman itu keluar Bersatu menyebabkannya tidak mengetuai sebuah parti, kerana GRS adalah gabungan parti.
Selain itu, tiga ADUN daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat iaitu Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Wetrom Bahanda (Bandau), dan Datuk Juil Nuatim (Limbahau) percaya Hajiji tidak lagi mempunyai sokongan majoriti sebagai Ketua Menteri.
GAGAL
Bagaimanapun, langkah coup d’etat itu gagal setelah lima ADUN BN Sabah tampil mempertahankan kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri, selain menolak keputusan BN negeri menarik sokongan itu.
Pada 8 Januari 2023, kesemua tujuh ADUN PH Sabah pula menyatakan sokongan terhadap Hajiji demi kestabilan politik negeri.
Susulan kegagalan percubaan menjatuhkan Hajiji oleh BN Sabah dan Warisan, Hajiji kemudiannya melaksanakan rombakan lapan daripada 11 portfolio kabinet kerajaan negeri dengan Bung Moktar, Datuk Yakub Khan (Karambunai) dan Datuk Jafry Arifin (Sukau) dari UMNO digugurkan.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut disingkirkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri, dengan Shahelmey dan Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey Kitingan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan II.
Rombakan kali ini turut memastikan dua ADUN PH iaitu Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew (Api-Api) dan Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe (Luyang) dilantik sebagai anggota Kabinet baharu.
Drama politik Sabah tidak terhenti setakat itu sahaja. BN Sabah yang tidak berpuas hati dengan tindakan lima ADUN koalisi itu berpaling tadah kepada GRS, kemudiannya cuba menuntut Speaker DUN Sabah mengosongkan kerusi mereka.
Dengan UMNO telah melaksanakan pindaan perlembagaan parti untuk menyelaraskan Akta Anti Lompat Parti sebagaimana digubal di peringkat Persekutuan, UMNO Sabah percaya kelima-lima ADUN itu telah melanggar ketetapan parti.
Bagaimanapun, lima ADUN UMNO berkenaan membuat keputusan keluar parti dan menyertai GRS.
Pada masa sama, aktiviti lompat parti dalam kalangan ADUN Sabah masih berterusan. Sehingga kini, sejumlah 34 ADUN Sabah dicatatkan telah bertindak keluar dari Warisan, UMNO, Bersatu dan UPKO sehinggalah peruntukan Akta Antilompat Parti akhirnya digubal di peringkat negeri.
KDM juga tidak terkecuali berdepan masalah ADUN keluar parti setelah Juil (Limbahau) pula menyertai GRS.
Selain berjaya menambah bilangan ADUN sehingga mencapai 40 orang, GRS yang kini terdiri Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kemudiannya memperkukuhkan koalisi mereka apabila menandatangani perjanjian kerjasama dengan lima lagi parti lokal.
Empat parti berkenaan adalah Parti Maju Sabah (SAPP); Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Terkini, PBS dan STAR pula menandatangani satu perjanjian kerjasama bagi mendepani PRN ke-17. Bagaimanapun, mereka menafikan kerjasama itu isyarat PBS-STAR mahu meninggalkan GRS.
34 ADUN SABAH UMUM KELUAR PARTI PASCA PRN 16:
> KELUAR WARISAN
1) Datuk Hassan A Gani Pangeran Amir (Sebatik) (Keluar parti dua kali)
2) Dr Yusof Yacob (Sindumin) (Keluar parti dua kali)
3) Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama) (Keluar parti tiga kali)
4) Datuk Peter Anthony (Melalap)
5) Datuk Juil Nuatim (Limbahau) (Keluar parti dua kali)
6) Rina Jainal (Kukusan)
7) Mohamad Mohamarin (Banggi)
8) Chong Chen Bin (Tanjung Kapor)
9) Datuk Norazlina Arif (Kunak)
10) Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas)
11) Datuk George Hiew Vun Zin (Karamunting)
> KELUAR UMNO
12) Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat)
13) Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit)
14) Datuk James Ratib (Sugut) (Keluar parti dua kali)
15) Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) (Keluar parti dua kali)
16) Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk)
> KELUAR PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (BERSATU)
17) Datuk Seri Hajiji Noor (Sulaman)
18) Datuk Fairuz Renddan (Pintasan)
19) Datuk Ghulamhaidir @ Yusof Khan Bahadar (Kawang)
20) Datuk Mohd Arifin Mohd Alif (Membakut)
21) Datuk Isnin Aliasnih (Klias)
22) Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) (Keluar parti dua kali)
23) Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan)
24) Datuk Rubin Balang (Kemabong)
25) Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan)
26) Datuk Samad Jambri (Labuk)
27) Datuk Seri Mohammadin Ketapi (Segama) (Keluar parti tiga kali)
28) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas)
29) Datuk Hassan A Gani Pangeran Amir (Sebatik)
30) Datuk Jaffari Waliam (ADUN dilantik)
31) Datuk Amisah Yassin (ADUN dilantik)
> KELUAR PARTI KESEJAHTERAAN DEMOKRATIK MASYARAKAT (KDM)
32) Datuk Juil Nuatim (Limbahau) (Keluar parti dua kali)
> KELUAR PARTI PERTUBUHAN KINABALU PROGRESIF (UPKO)
33) Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) (Keluar parti dua kali)
34) Datuk James Ratib (Sugut) (Keluar parti dua kali)
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost