Volkano Lumpur Aktif Dirakam Di Maliau Basin

Ada Banyak, Kenali “Mud Volcano” Yang Terdapat Di Sabah

Baru-baru ini, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) memuat naik satu video memaparkan volkano lumpur aktif berhampiran Maliau Basin, Sabah hingga meraih perhatian warga maya.

Dalam perkongsian yang dibuat melalui Facebook menunjukkan volkano lumpur yang sedang aktif itu sempat dirakam oleh pegawai geosains JMG ketika berada di lapangan.

Video tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ramai di mana sesetengah mereka ingin mengetahui sama ada ia bahaya untuk persekitaran ataupun tidak.

Kemungkinan ada yang tidak mengetahui, volkano lumpur atau mud volcano ini banyak berada di kawasan sekitar negeri Sabah.

Jadi, untuk menjawab persoalan orang ramai, ikuti perkongsian berkenaan volkano lumpur di bawah ini.Apa itu volkano lumpur?

Secara terjemahannya volkano itu ditafsirkan sebagai letusan gunung berapi dan tidak dinafikan ia menimbulkan rasa cemas kepada orang awam apabila mendengar perkataan tersebut.

Pun begitu, volkano lumpur yang berada di Sabah ini, tidak memuntahkan bahan cairan lava seperti yang dilakukan oleh gunung berapi tetapi ia mengeluarkan bahan lumpur.

Sebahagian besar lumpur yang meletus terdiri daripada tanah liat dan ketulan lumpur, petik kajian.

“Volkano lumpur hanya meminjam istilah volkano untuk menjelaskan mekanisme bahan lumpur yang dipaksa keluar daripada bawah tanah untuk keluar ke permukaan,” kata Felo Penyelidikan Geologi Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Hardianshah Saleh dan Profesor Dr Baba Musta.

Gambar: JMG

Jelas mereka, volkano lumpur bukanlah fenomena yang sama dengan volkano atau letusan gunung berapi namun ia adalah penjelasan yang digunakan hanya untuk menjelaskan bahan lumpur yang dikeluarkan dari bawah tanah.

Fenomena letusan ini pertama kali direkodkan di Sabah pada tahun 1920-an sebelum mula dikaji dengan lebih terperinci.

Difahamkan, letusan ini berlaku apabila tekanan atas terhadap lapisan yang kaya dengan bahan lumpur yang terbentuk jauh di bawah permukaan tanah.

Kemudian, tekanan ini akan menekan dan memaksa bahan lumpur berbentuk cecair keluar dari menerusi sesar, retakan atau zon lemah pada batuan ke permukaan.

Cairan lumpur ini akan keluar bersama gas metana selain daripada nitrogen, oksigen, karbin dioksida dan hidrogen sulfida.

Menurut kajian, lumpur ini lazimnya berwarna biru kelabu namun warnanya sedikit berbeza disebabkan warna sedimen primer atau perubahan seterusnya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *