Lelaki Putus Empat Jari Tangan Kiri Tertembak Diri Sendiri Ketika Keluar Memburu

Keadaan tangan mangsa akibat terkena tembakan berkenaan.

KENINGAU: Seorang petani mengalami kecederaan parah selepas senapang buatan sendiri jenis bakakuk meletup dan terkena tangan kiri serta dadanya ketika memburu di kawasan kebun Kampung Panganitan, Nabawan, di sini.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 28 tahun putus empat jari tangan kiri selain patah tulang rusuk kiri sedang menerima rawatan di Hospital Keningau.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit dikatakan keluar memburu ke kebun Kampung Panganitan, dengan berjalan kaki sendirian dan membawa senapang jenis bakakuk di kawasan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kampungnya.

“Ketika sedang berjalan menuruni kawasan cerun bukit, lelaki itu tergelincir lalu picu bakakuk terganggu dan mengakibatkan letupan yang terkena di bahagian tangan kiri dan dadanya,” katanya ketika dihuhungi.

Beliau berkata, mangsa yang terbaring dalam keadaan kesakitan hanya mampu mengikat lengan sebelah kiri bagi mengelakkan pendarahan yang lebih teruk.

“Abang kandung lelaki itu yang bimbang kerana adiknya belum pulang ke rumah sejak keluar memburu mengambil keputusan untuk keluar mencarinya di kawasan hutan.

“Tidak lama selepas itu, mangsa ditemukan dalam keadaan lemah lalu abangnya bertindak membawa ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dengan putus empat jari tangan kiri, patah tulang rusuk kiri, satu biji anak peluru masih berada di tulang rusuk serta tiga biji berada di lengan kirinya.

“Keadaan mangsa kini adalah stabil dan masih menerima rawatan di dalam wad Hospital Keningau untuk pemantauan rapi. 

“Susulan kejadian ini, polis merampas satu laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk beserta kelongsong peluru tabur dalam chamber.

“Turut dirampas sebutir kelongsong peluru tabur warna hitam. Siasatan mendapati senapang bakakuk itu diwariskan oleh neneknya sejak dua tahun lalu untuk tujuan menjaga kawasan kebun mereka dari serangan babi hutan,” katanya.

Tambahnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *