‘Hak UMNO Tuaran Jemput Siapa Hadir’, Rahman Beritahu Bung Moktar

Rahman Dahlan berkata tidak timbul soal dua nakhoda dalam Umno Sabah seperti didakwa Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU : Umno Tuaran mempunyai hak menjemput sesiapa sahaja ke majlis perasmian mesyuaratnya, Sabtu lalu termasuk Pengerusi Gabungan Rakyat (GRS) Hajiji Noor, kata Ketuanya Abdul Rahman Dahlan.

Mengulas teguran Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, Rahman berkata keputusan menjemput ketua menteri itu dibuat kerana menghormati formasi kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat nasional.

GRS antara komponen membentuk kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan selain parti-parti kecil lain.

Rahman berkata Presiden Umno Zahid Hamidi sendiri sedia maklum kehadiran Hajiji bersama rombongan sebagai jemputan khas, malah meneruskan hasrat merasmikan mesyuarat itu walaupun ada pihak menasihatinya tidak hadir.

“Siapa yang Umno Tuaran jemput ke mesyuarat itu adalah hak Umno Tuaran.

“Lagi pun Umno Tuaran tidak pernah membantah kehadiran pemimpin-pemimpin Umno Sabah dalam majlis anjuran parti lain,” katanya dalam kenyataan.

Rahman tidak menamakan pemimpin Umno Sabah terbabit, namun Bung hadir ke Perhimpunan Agung Tahunan Warisan, Disember tahun lalu, menguatkan desas-desus kerjasamanya menjelang PRN dijangka tahun depan.

Hari ini, FMT melaporkan Bung menegur tindakan Rahman yang juga timbalan ketua Umno Sabah menjemput Hajiji ke majlis perasmian mesyuarat Umno Tuaran, sebagai ‘tidak tepat dan silap’.

Bung berkata ini kerana majlis itu seharusnya menjadi platform buat Zahid menyampaikan amanat dan strategi kepada ahli Umno namun terbatas dengan kehadiran pemimpin luar seperti Hajiji dan Ketua PH Sabah Christina Liew.

Mengulas lanjut, Rahman berkata tidak timbul soal strategi politik didedahkan kerana lazimnya ucapan perasmian mesyuarat perwakilan dibuat secara terbuka dan diketahui ramai.

Beliau yang juga ahli majlis kerja tertinggi parti itu berkata jemputan ke majlis itu juga telah dipanjangkan kepada semua ketua-ketua bahagian melalui ibu pejabat Umno Sabah.

Rahman turut menjelaskan tidak timbul soal dua nakhoda dan beliau tidak pernah mengganggu pentadbiran Umno Sabah selain menggunakan kedudukan bagi menghalang usaha memperkasa parti.

“Cuma sebagai orang yang bertanggungjawab mencadangkan ‘Autonomi Umno Sabah’ kepada presiden pada 2018, saya hanya mahukan supaya semua kepimpinan tertinggi Umno Sabah dibawa berbincang apabila ada keputusan besar dibuat mengenai masa depannya,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *