Salur Maklumat, Jangan Lindungi PTI – Pesuruhjaya Polis Sabah

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun

KOTA KINABALU: Selaras usaha menangani isu setinggan dan pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah, polis meminta masyarakat dan pemimpin setempat menyokong tindakan serta pendekatan yang dilaksanakannya.

Jangan bersekongkol melindungi PTI, sebaliknya salurkan maklumat mengenai kehadiran mereka kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata dengan adanya maklumat sedemikian, maka tindakan segera dapat dilaksanakan.

Katanya, sokongan dan peranan pemimpin masyarakat seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ketua Kampung amat penting membantu pihak berkuasa menangani isu setinggan dan PTI ini.

“Berikan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai kehadiran orang yang tidak dikenali dan tiada dokumen supaya kita dapat ambil tindakan.

“Kalau kita tiada maklumat seperti ini, maka sudah pasti kita tidak dapat mengambil tindakan secara menyeluruh,” katanya dalam temuramah eksklusif di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, dekat sini.

Jauteh turut mengingatkan penduduk tempatan supaya jangan bersekongkol dengan warga asing seperti menyewakan tanah kepada golongan tidak berdokumen sah itu.

Katanya, rakyat tempatan boleh menyewakan tanah atau rumah mereka, tetapi hendaklah kepada mereka yang ada dokumen sah.

“Jika mereka menyewakan kepada golongan tidak berdokumen sah, mereka (rakyat tempatan) boleh dituduh melindungi PTI.

“Apabila tindakan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan, ia akan memberi kesan buruk kepada pemilik tanah atau rumah berkenaan.

“Kita meminta masyarakat dan pemimpin setempat supaya berikan sokongan kepada polis dari segi moral dan informasi,” katanya.

Jauteh juga menyatakan bahawa sokongan dan kerjasama jabatan serta agensi kerajaan dalam menangani isu setinggan dan PTI ini sangat baik dan berkesan.

Katanya, sehingga kini semua agensi memberi kerjasama penuh dan pihaknya berharap ia berterusan sehingga matlamat tercapai.

Beliau meletakkan harapan tinggi itu susulan pendekatan polis melaksana operasi besar-besaran `Op Koloni Setinggan’ menangani isu setinggan dan kebanjiran PTI di negeri ini.

Operasi itu sudah bermula di empat daerah — Kota Kinabalu, Labuan, Kudat dan Semporna — dan akan diperluaskan ke seluruh negeri secara berperingkat.

Sasaran fasa pertama operasi itu adalah koloni setinggan kecil-kecilan, kemudian diperlus ke koloni bersaiz sederhana dan fasa akhir membabitkan koloni berskala besar.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *