Sabah Akan Bantu Bajau Laut Terkesan Rumah Diroboh, Kata Hajiji

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menegaskan, kerajaan negeri tahu cara menangani isu masyarakat Bajau Laut dan akan membantu mereka.

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah akan membantu masyarakat Bajau Laut yang terkesan apabila rumah mereka dirobohkan semasa operasi di Semporna, kata ketua menteri Hajiji Noor.

Dalam operasi selama beberapa hari minggu lepas, pegawai penguat kuasa menjalankan pengusiran dan perobohan rumah milik lebih 500 anggota masyarakat Bajau Laut yang dibina atas air, tindakan yang dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia dan NGO.

Hajiji mempertahankan keputusan pihak berkuasa merobohkan rumah-rumah di tujuh pulau di Taman Marin Tun Sakaran itu, yang menurutnya dilakukan demi keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kita sudah fikir sesuatu yang baik untuk mereka,” katanya apabila ditanya bagaimana kerajaan negeri akan membantu masyarakat Bajau Laut yang terkesan.

“Jangan jadikan isu ini isu politik, (kerajaan negeri) tahu bagaimana nak tangani (isu ini) dan bantu mereka.”

Tambahnya, cadangan untuk membantu masyarakat tersebut akan dikemukakan kemudian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Taman Perindustrian Kota Kinabalu selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri dengan anak syarikat Kibing Group, SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd, untuk meningkatkan pelaburannya di negeri itu.

Jumaat lepas, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew berkata, operasi perobohan itu dijalankan selepas notis pengusiran dikeluarkan antara 2 hingga 4 Mei bagi 278 rumah yang dibina secara haram di perairan taman marin itu

Beliau berkata, perobohan itu diarahkan atas faktor keselamatan pada peringkat daerah.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Ahad menggesa bantuan segera diberikan kepada anggota masyarakat itu yang kehilangan tempat tinggal, termasuk memastikan mereka mendapat akses kepada penempatan sementara, rawatan perubatan dan sumber pendidikan.

Menurut Suhakam, Bajau Laut ialah masyarakat unik yang terpinggir dari segi sejarah, menghadapi cabaran besar termasuk akses terhad kepada perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Katanya, dialog antara kerajaan negeri, masyarakat Bajau Laut dan pertubuhan kemanusiaan juga perlu diadakan untuk mencari penyelesaian berpanjangan bagi masalah dihadapi masyarakat itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *