
SEMPORNA: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mempergiat koordinasi Operasi Bersepadu (OB) di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selaras hasrat ESSCOM ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’.
Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata operasi dilaksanakan Bahagian Siasatan Khas dan Teknikal (SKT) ESSCOM di kawasan laut dan daratan Semporna 8 November lalu.
“Operasi terbabit menjalankan pemeriksaan awal terhadap 352 individu dan 16 buah rumah sebelum menahan 29 individu bagi tujuan pendokumentasian.
“26 daripada individu terbabit dibebaskan dengan jaminan pihak berkuasa manakala tiga pendatang tanpa izin (PTI) warganegara Filipina ditangkap kerana didapati menetap di negara ini tanpa dokumen yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Suspek kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Daerah Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya dua lagi individu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana didapati positif dadah jenis Amphetamines dan Methamphetamine.
Tambahnya suspek dibawa ke BSJND, IPD Semporna untuk siasatan lanjut.
Victor berkata selain menggempur pendatang tanpa izin (PTI) melalui penempatan yang sudah dikenal pasti didominasi pihak terbabit di kawasan laut dan darat daerah ini, tindakan penguatkuasaan turut dilaksanakan bagi membanteras elemen jenayah rentas sempadan melibatkan penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta aktiviti pengeboman ikan dan penyalahgunaan dadah.
“ESSCOM memberi penghargaan kepada semua jabatan dan agensi terlibat, khususnya 165 pegawai dan anggota yang menjayakan operasi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya IPD Semporna, Pasukan Polis Marin Semporna, 69 Komando, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM Pangkalan Sabah dan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau.
“Kita juga berterima kasih dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama Quick Reaction Force Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Semporna, JIM, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mahkamah Anak Negeri dan Pejabat Daerah Semporna dengan komitmen padu yang diberikan sepanjang pelaksanaan operasi ini,” katanya.
Beliau berkata kejayaan operasi ini juga adalah hasil perancangan inklusif dan usaha murni kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM untuk memperkasa operasi sedia ada yang dilaksanakan PDRM, ATM dan APMM serta jabatan dan agensi penguatkuasaan selain Pihak Berkuasa Tempatan dalam mengekang ancaman pencerobohan anasir asing dan memastikan pemeliharaan keselamatan awam di pantai timur Sabah diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Melalui tindakan penguatkuasaan yang bersepadu dan teratur ini juga memastikan aspek pemerkasaan Ekonomi Madani dalam sektor perniagaan, pelaburan, pelancongan dan pengembangan syarikat tempatan di wilayah ini dapat dilonjakkan serta memberi manfaat dari segi penggajian yang bermakna dan kesaksamaan peluang kepada masyarakat ESS Zone.
“ESSCOM akan terus melipatgandakan operasi seumpama ini bagi mengekang mana-mana elemen atau ancaman keselamatan yang boleh mengganggu keselamatan dan kesejahteraan awam khususnya di pantai Timur Sabah.
“Masyarakat juga diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost