ESSCom Rancang Guna Aplikasi Pantau Keselamatan Pelancong

Komander ESSCom Victor Sanjos berkata aplikasi itu akan dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

LAHAD DATU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) merancang untuk menggunakan satu aplikasi bagi memastikan keselamatan pelancong yang berada di  kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Komander ESSCom DCP Victor Sanjos berkata aplikasi yang akan dikoordinasikan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu antara lain akan memudahkan pihak ESSCom mengesan pergerakan pelancong bagi memberi perlindungan jika perlu kepada mereka.

Beliau berkata ada negara maju yang telah menggunakan aplikasi seperti itu untuk menjaga keselamatan pelancong yang masuk ke negara berkenaan, yang setiap pelancong masuk akan diimbas menerusi aplikasi keselamatan itu dalam telefon bimbit masing-masing.

“Pelancong merupakan aset utama di ESSZone, kemasukan pelancong memberi manfaat limpahan ekonomi termasuk dari segi permintaan resort, hotel, pengangkutan termasuk restoran, jadi untuk memastikan mereka ini selamat kita (ESSCom) kena tahu pergerakan mereka.

“Mereka masuk kami imbas guna (aplikasi keselamatan) telefon bimbit mereka, jadi kami tahu pergerakan mereka dan kami boleh hantar aset kami untuk meninjau serta menjamin keselamatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Pertandingan Menembak ESSCom Bersama Pengamal Media ESSZone di sini hari ini.

Victor berkata seramai 54,795 pelancong telah melawat kawasan ESSZone dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding 31,619 tempoh sama pada tahun lepas, sekali gus memperlihat pelancong semakin yakin dengan tahap keselamatan di ESSZone.

Beliau berkata penggunaan aset keselamatan teknologi tinggi, seperti cadangan penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) disaran Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini, wajar direalisasi bagi meningkatkan tahap keselamatan di ESSZone.

“Ini penting kerana penggunaan teknologi tinggi ini dapat mempercepatkan maklumat di lapangan dan memberi arahan kepada aset-aset di bawah, maksudnya tidak membuang masa dalam menjalankan tugas,” katanya.

Mengulas peruntukan RM40 juta untuk ESSCom membabitkan penyediaan utiliti serta fasiliti termasuk kediaman diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, beliau berkata tinjauan kawasan telah dilakukan bagi membeli penempatan kakitangan awam dan keselamatan ESSCom di Lahad Datu. 

“Ini supaya mereka yang ditugaskan menyertai ESSCom datang bersama komitmen dan tidak perlu risau tentang masalah perumahan ataupun penempatan,” katanya sambil menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi fokus kepada ESSCom. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *