GRS ‘100% Tempatan’, Blok Borneo Kini Semakin Nyata

Diketahui bahawa Hajiji Noor dari Sabah dan Abang Johari Openg dari Sarawak adalah sekutu, kata seorang penganalisis politik.

KOTA KINABALU : Cadangan pembentukan blok Borneo semakin hampir menjadi kenyataan susulan pengambilalihan Parti Gagasan Rakyat Sabah oleh Hajiji Noor, menurut penganalisis politik.

Penyertaan Gagasan Rakyat dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah menjadikan gabungan itu kini “100% tempatan”, kata Hajiji yang juga pengerusi GRS, pada Ahad.

Penganalisis politik Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, gabungan pemerintah Sabah sebelum ini mempunyai hubungan dengan parti Semenanjung atau tidak sehaluan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, Umno Sabah terikat dengan pimpinan pusat, manakala Warisan dan Pakatan Harapan (PH) tidak bersekutu dengan GPS.

“Sebelum ini, beberapa pemimpin GPS ragu-ragu tentang kerjasama dengan GRS kerana Bersatu sebahagian daripada mereka. Kini, Bersatu bukan lagi faktor dan GRS 100% tempatan. Lebih mudah menubuhkan blok Borneo bersama GPS,” katanya.

“Hajiji dan Premier Sarawak Abang Johari Openg juga sekutu,” katanya.

Hajiji mengambil alih Gagasan Rakyat sebagai presiden pada Ahad, dua bulan selepas mengetuai penyokongnya meninggalkan Bersatu Sabah dan mengumumkan Gagasan Rakyat menyertai GRS.

Lee berkata, keputusan Hajiji mengambil alih parti berbilang kaum itu sejajar dengan “DNA pelbagai kaum” Sabah.

“Hajiji mempunyai ramai penyokong dalam kalangan masyarakat Cina, namun dalam Bersatu mereka hanya berstatus ahli bersekutu.

“Dari sudut politiknya, ini memberi gambaran mereka tidak sama taraf. Sekarang, Hajiji mampu membawa mereka dalam kerangka Gagasan Rakyat.

“Sifat berbilang kaum parti itu pastinya mengukuhkan imej GRS sebagai gabungan inklusif bagi semua rakyat Sabah,” katanya.

Lee berkata, dengan pelancaran Gagasan Rakyat dijadualkan pada 2 Mac, Hajiji mempunyai masa yang cukup untuk menarik pemimpin baharu daripada parti lain.

“Tiga ADUN Warisan sudah mengumumkan sokongan mereka kepada Hajiji, berkemungkinan mereka akan menyertai Gagasan Rakyat,” katanya.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, langkah Hajiji mengambil alih Gagasan Rakyat menonjolkan kepemimpinan inklusifnya.

“Ciri Gagasan Rakyat yang berbilang kaum meletakkan mereka sebaris Warisan yang juga parti berbilang kaum. Sebelum ini, Warisan mengkritik Hajiji kerana menjadi sebahagian parti ‘luar’… Bersatu, kini mereka tidak boleh mengatakan perkara sama.

“Anda dapat lihat impak segera dengan tiga ADUN Warisan keluar parti untuk menyokong Hajiji,” katanya.

Semalam, tiga ADUN, Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak) mengumumkan meninggalkan Warisan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *