Polis Perketat Kawalan Sempadan, Lancar Operasi Kesan Banduan Filipina Didakwa Larikan Diri Ke Semporna

KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi bagi mengesan banduan yang melepaskan diri dari Selatan Filipina dan didakwa melarikan diri ke Semporna baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata sebagai langkah keselamatan operasi untuk memperketatkan kawalan sempadan sudah dilaksanakan dan maklumat berkenaan perkara ini sudah diberikan kepada semua elemen bagi mengesan kemungkinan wujudnya kemasukan penjenayah itu ke negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah

Beliau bagaimanapun berkata setakat ini tiada maklumat yang mengesahkan penjenayah itu sudah memasuki kawasan Sabah dan sedang bersembunyi di Semporna seperti dakwaan yang disebarkan.

“Polis dan pasukan keselamatan negara juga giat bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina bagi menjalankan siasatan berhubung kes ini,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan yang tular menyatakan banduan terbabit dikenali sebagai Alnazar Jalilul Abdain yang dipenjarakan dengan kesalahan membunuh bertindak melarikan diri dari penjara Tawi-Tawi jam 7 malam 26 September lalu.

Selepas beberapa minggu operasi mengesan banduan yang amat berbahaya itu dijalankan, pihak berkuasa Filipina akhirnya mengesan Alnazar bersama penjenayah rentas sempadan yang juga anggota Kumpulan Militan Abu Sayyaf (ASG) Haibin Mubin di Sitangkai Filipina awal Oktober lalu.

Satu serbuan kemudiannya dilakukan bagi menangkap penjenayah terbabit dan Haibin yang juga berada dalam senarai dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan pada 16 Oktober.

Alnazar didakwa melarikan diri ke Semporna menaiki bot sebaik mengetahui insiden terbabit.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *