Rakyat Sabah Mahu MA63 Dilaksanakan, Bukan Jawatan TPM, Kata Warisan

Azis Jamman berkata, apa yang rakyat Sabah dan Sarawak mahukan adalah pelaksanaan sepenuhnya tanpa bertangguh MA63 yang telah dipersetujui sekian lama.

KOTA KINABALU : Rakyat Sabah tidak perlukan jawatan timbalan perdana menteri (TPM) sebaliknya mahu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan sepenuhnya, kata Ketua Penerangan Warisan, Azis Jamman.

Katanya, rakyat Sabah tidak mahu lagi mendengar siri rundingan mengenai MA63 menerusi jawatankuasa yang tiada titik penyelesaiannya.

“Saya merujuk kepada tawaran jawatan TPM mewakili Sabah dan Sarawak oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), rakyat Sabah bukannya mahukan jawatan itu.

“Presiden Warisan, Shafie Apdal sendiri pernah ditawarkan jawatan TPM ketika pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin dan ketika kerajaan persekutuan diterajui Ismail Sabri Yaakob, kita telah menolak tawaran itu,” katanya dalam kenyataan.

Azis berkata, apa yang dimahukan rakyat Sabah dan Sarawak ialah pelaksanaan sepenuhnya dengan segera dan tanpa bertangguh lagi MA63 yang telah dipersetujui sekian lama antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu semasa pembentukan Malaysia.

“Kita tidak mahu lagi mendengar siri rundingan menerusi jawatankuasa yang tiada titik penyelesaian dan kita tidak mahu lagi mendengar pelbagai alasan seperti menunggu sehingga kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan kukuh, barulah MA63 dapat dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azis berkata, kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan tidak akan bertambah baik dengan mengambil kira salah laku dan
amalan rasuah, salah guna kuasa dan kronisme yang berleluasa di negara ini.

Katanya, rakyat mahukan hak sama rata, formula yang adil dan kesaksamaan untuk Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam pembentukan Malaysia.

“Kita tidak mahu lagi diabaikan dan dianaktirikan sehingga Sabah dan Sarawak jauh ketinggalan dari sudut pembangunan dan infrastruktur.

“Adakah dengan mewujudkan jawatan TPM bagi Sabah dan Sarawak bermakna pemimpin dari Sabah dan Sarawak tidak boleh atau tidak akan memegang jawatan perdana menteri pada masa hadapan?, ” soal Azis lagi.

Aziz turut mempertikai adakah dengan menjanjikan jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak bermakna hanya orang Semenanjung yang berhak ke atas jawatan nombor satu negara?

Katanya, BN dan PH sebelum ini juga pernah berjanji untuk melaksanakan MA63 namun sehingga kini ia hanya janji tinggal janji.

“Rakyat Sabah sudah tidak mahu lagi mendengar ‘gula-gula pilihan raya umum (PRU)’ yang pada akhirnya tidak dicapai.

“Ketika pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada Jan 2020, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi telah berjanji atas nama Allah SWT bahawa tuntutan Sabah dan Sarawak dalam MA63 akan dilaksanakan 100% jika BN menawan semula kerajaan pusat, apa yang telah terjadi dan ke mana perginya janji-janji itu?

“Lim Guan Eng juga telah berjanji sebelum PRU14 bahawa MA63, pembayaran 20% royalti minyak dan pemberian khas 40% hasil negeri yang dikutip kerajaan persekutuan akan dilaksanakan jika PH berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Apabila Lim menjadi menteri kewangan, beliau memungkiri janjinya kepada rakyat Sabah dengan memberikan alasan kerajaan persekutuan tidak dapat menunaikan janji itu ekoran beban hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *