Hari Peringatan Sandakan Titip Hasrat Untuk Keamanan

SANDAKAN : Hari Peringatan Sandakan yang disambut hari ini merupakan kesempatan terbaik untuk merenung kembali hasrat berterusan yang dikongsi bersama bagi mencapai keamanan dan perang hanya memusnahkan manusia, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata perang yang berlaku yang pada masa lalu patut dijadikan peringatan tentang kesusahan dan kezaliman yang dihadapi rakyat.

“Ketika ini, pada detik ini, perang sedang berlaku di banyak tempat di dunia. Lelaki dan wanita muda telah dihantar ke medan perang dan kita semua sangat mengetahui akibatnya.

“Salut untuk semua dan didoakan mereka semua selamat pulang kepada orang tersayang,” katanya pada Upacara Hari Peringatan Sandakan di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata Taman Peringatan Sandakan di sini, iaitu lokasi upacara tersebut diadakan sejak 2003 berdekatan bekas tapak kem tawanan perang ketika Perang Dunia Kedua, memenuhi tujuan pembinaannya iaitu bagi memperingati tawanan terlibat dan turut dikunjungi ahli keluarga mereka.

Beliau berkata 77 tahun lepas, kira-kira 2,400 tawanan perang Australia dan British dipenjarakan di Kem Tahanan Perang Sandakan dan sebahagian mereka dipaksa berjalan kaki atau berkawad sejauh 260 kilometer ke Ranau.

Peristiwa itu melibatkan beberapa siri kawad yang juga dikenali sebagai Sandakan Death Marches atau Kawad Maut Sandakan.

Hanya enam orang terselamat untuk menceritakan semula kekejaman yang dihadapi mereka dan yang lain meninggal dunia di kem di Ranau dan Sandakan.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Veteran yang juga Menteri Pertahanan Australia Matt Keogh berkata Hari Peringatan Sandakan bukan sahaja untuk memperingati tawanan perang yang terkorban, malah bagaimana enam individu tersebut berjaya melarikan diri dan terselamat.

“Mereka selamat kerana bantuan yang diberikan kepada mereka oleh penduduk Sandakan, rakyat Sabah, (yang) menyedari kepentingan solidariti sesama insan dengan membantu rakyat Australia yang melarikan diri dan ia menunjukkan hubungan yang berpanjangan dan kuat antara kedua-dua negara, yang berterusan sehingga hari ini merentasi generasi dan lautan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *