Saya Tak Kenal David Tan, Anifah Nafi Terima Wang Daripada UKSB

Bekas menteri luar Anifah Aman menafikan beliau menerima bayaran daripada Ultra Kirana Sdn Bhd seperti disebut dalam keterangan saksi, David Tan, pada perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi.

KOTA KINABALU : Bekas menteri luar, Anifah Aman, menafikan menerima sebarang bayaran daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti dinyatakan dalam keterangan saksi, David Tan, pada perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau bersedia dan akan membantu siasatan dijalankan pihak berkuasa untuk membersihkan namanya.

Anifah merujuk kepada laporan berita membabitkan keterangan Tan dalam perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri yang juga presiden Umno itu pada 17 Jun lalu.

Beliau yang juga presiden Parti Cinta Sabah berkata, dalam laporan itu namanya dikatakan dicatat dalam buku lejar UKSB sebagai penerima dana daripada syarikat berkenaan.

“Saya terkejut dengan laporan ini. Ketika bertugas sebagai menteri luar, saya berjumpa ramai orang.

“Seingat saya, saya tidak pernah bertemu David Tan atau menerima sebarang wang daripadanya mahupun UKSB. Saya tidak mengetahui siapa mereka dan saya tidak pernah berurusan dengan mereka dalam apa perkara sekali pun,” katanya dalam kenyataan.

Dalam keterangan Tan pada perbicaraan berkenaan, bekas pengurus pentadbiran UKSB itu menyebut bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal, Anifah dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican antara penerima dana daripada UKSB.

Nama lain disebut dalam perbicaraan itu adalah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali pusat sehenti (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN), serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu kepada syarikat sama oleh kementerian berkenaan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri dalam negeri menerima untuk dirinya SGD1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan USD15,000 dalam bentuk wang tunai daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *